Dana RM1 juta untuk bantuan bina rumah baharu Orang Asli

8 Jun 2026, 12:00 PM
Dana RM1 juta untuk bantuan bina rumah baharu Orang Asli

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan Negeri sedang meneliti setiap permohonan bantuan bina rumah baharu masyarakat Orang Asli bagi memastikan peruntukan Program Rumah Kerajaan Prihatin dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar layak.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata jumlah permohonan yang diterima adalah tinggi, namun setiap permohonan perlu melalui proses penilaian sebelum diluluskan memandangkan kos pembinaan sebuah rumah dianggarkan antara RM80,000 hingga RM85,000.

"Memang permohonan banyak, tetapi Kerajaan Negeri perlu membuat penelitian terhadap setiap permohonan. Kita akan pastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat sahaja menerima bantuan bina rumah baharu ini.

"Dengan kos sekitar RM80,000 hingga RM85,000 bagi sebuah rumah, kita perlu memastikan peruntukan yang disediakan dimanfaatkan sebaiknya," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan program berkenaan, selain meneliti alternatif lain termasuk kerja baik pulih kediaman uzur supaya lebih ramai penduduk dapat dibantu.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk yang memerlukan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembinaan rumah baharu.

"Bagi rumah yang masih boleh didiami tetapi berada dalam keadaan uzur, kita akan mencari alternatif untuk melaksanakan kerja baik pulih supaya penghuni dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat," katanya.

Terdahulu, Papparaidu mengadakan pertemuan bersama Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Hal Ehwal Orang Asli, Rahayu Ali dan Ketua Unit Komunikasi Orang Asli, Juli Blat bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan komuniti berkenaan di Selangor.

Perbincangan itu tertumpu kepada pelaksanaan Program Rumah Kerajaan Prihatin Orang Asli, pembangunan infrastruktur, kebajikan komuniti serta keperluan semasa yang dihadapi masyarakat terbabit.

Selain isu perumahan, antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan program gotong-royong, pemasangan lampu solar serta usaha menambah baik jalan di penempatan Orang Asli.

Beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pembangunan masyarakat Orang Asli menerusi penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan komuniti itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.