Mayat lelaki ditemui terapung di Tasik Nurul Iman

8 Jun 2026, 5:00 AM
Mayat lelaki ditemui terapung di Tasik Nurul Iman

SHAH ALAM, 8 JUN: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Tasik Nurul Iman, Serendah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa kira-kira jam 11.45 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 50 tahun.

“Mangsa telah dijumpai dengan berpakaian T-shirt berwarna biru gelap dan berseluar pendek warna hitam dalam keadaan terlentang dan terapung di pinggir tasik tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, pergelutan atau kecederaan lain.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Menurut Mohd Asri, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR).

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.

Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Hazwan Ismail di talian 03-60811222 atau 013-2908206, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.