SHAH ALAM, 7 JUN: Bunyi enjin bas dan perjalanan jauh yang suatu ketika dahulu dianggap rutin kini menjadi detik yang mencetuskan trauma buat Abdul Wafiy Kamaruddin selepas terselamat dalam tragedi yang meragut 15 nyawa rakan universitinya di Gerik tahun lalu.
Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 24 tahun itu mengakui masih berdepan ketakutan setiap kali menaiki pengangkutan awam, khususnya bas, meskipun hampir setahun berlalu sejak tragedi berkenaan.
Beliau berkata pengalaman menyaksikan sendiri kemalangan yang meragut nyawa rakan-rakannya meninggalkan kesan emosi yang mendalam sehingga memerlukan bantuan kaunseling.
"Selepas insiden berkenaan, saya dan rakan-rakan yang cedera menjalani kaunseling yang dilakukan pihak universiti dan hingga kini masih ada yang mendapatkan kaunseling berkenaan.
"Alhamdulillah keadaan emosi saya dan trauma makin berkurangan setakat ini dan berterima kasih kepada pihak UPSI yang sentiasa ambil berat kepada kami," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Pasir Puteh, Kelantan hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Abdul Wafiy berkata tarikh 9 Jun akan sentiasa terpahat dalam ingatannya kerana menjadi saksi kepada kehilangan 15 rakan universiti dalam sekelip mata.
"Tanggal 9 Jun yang berbaki dua hari lagi adalah tarikh yang akan saya kenang hingga akhir hayat apabila ia adalah hari kematian 15 rakan universiti dan saya menyaksikannya di depan mata.
"Apa yang berlaku pada tarikh 9 Jun tahun lalu masih segar dalam ingatan saya. Semua detik itu saya masih ingat di mana kami semua dalam keadaan gembira ketika baru menaiki bas di Jertih untuk pulang ke kampus.
"Namun takdir Allah berlaku tragedi di Gerik. Saya masih ingat ketika saya sedar, mayat rakan-rakan bergelimpangan dalam keadaan menyayat hati. Ada yang menjerit meminta tolong dan ada yang menangis kesakitan akibat kecederaan yang dialami," katanya.
Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni itu, suasana yang pada awalnya dipenuhi kegembiraan bertukar menjadi mimpi ngeri yang tidak mungkin dapat dilupakan.
"Semua detik itu saya masih ingat dan akan kenang sampai akhir hayat saya. Alhamdulillah saya hanya cedera ringan dalam tragedi berkenaan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi pada 9 Jun tahun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang membawa mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim ketika tragedi itu berlaku.







