SHAH ALAM, 7 JUN: Seorang lelaki berjaya ditahan selepas dipercayai mencuri kabel di kawasan landasan kereta api berhampiran KM36.215 Downline Klang, semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan suspek diberkas kira-kira jam 1.15 petang hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB bersama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Menurut KTMB, pasukan rondaan menerima maklumat berhubung gangguan litar landasan (track occupied) di lokasi berkenaan sebelum bergegas menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan berjaya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap dan mencuri kabel di kawasan landasan.
“Suspek berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB dengan bantuan Pasukan Taskforce D4 JSJ IPD Klang Selatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut KTMB, pemeriksaan lanjut menemukan beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Katanya, pemeriksaan teknikal kemudian mengesahkan gangguan litar landasan itu berpunca daripada perbuatan mencuri kabel.
"Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada polis bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Kami merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan KTMB dan IPD Klang Selatan atas tindakan pantas dalam memastikan keselamatan operasi kereta api serta melindungi aset dan infrastruktur perkhidmatan rel negara," katanya.
Menurutnya, rondaan dan pemantauan keselamatan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.
KTMB mengingatkan bahawa perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi polis atau Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam," katanya.







