Anwar ucap terima kasih kepada sukarelawan, Orang Asli bantu Jaslinda

6 Jun 2026, 12:12 PM
Anwar ucap terima kasih kepada sukarelawan, Orang Asli bantu Jaslinda

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, pasukan penyelamat dan komuniti Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Perak selepas pendaki wanita Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lepas ditemukan selamat, petang tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut melahirkan rasa syukur atas penemuan wanita berusia 49 tahun itu.

"Alhamdulillah, syukur. Terima kasih sukarelawan dan pasukan penyelamat, serta warga Orang Asli Lubuk Gaharu kerana melindungi saudari Jaslinda," kata beliau.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Sayani Saidon memaklumkan Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 3 petang.

Beliau berkata mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri a/l Bah Eng, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa melalui anak saudaranya yang berada di Johor.

Sayani berkata Jaslinda kini ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan.

Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.