Empat anggota polis didakwa peras ugut jurujual RM10,000

5 Jun 2026, 3:10 PM
Empat anggota polis didakwa peras ugut jurujual RM10,000

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Empat anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang RM10,000 terhadap seorang jurujual, tiga tahun lepas.

Mohd Al Hafis Sairudin, 43, Mohd Azmi Mohd Ghozali, 40, Muhamad Azlan Zakaria, 39, dan Muhammad Hanif Abdul Talib, 30, didakwa secara bersama-sama sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Danny Goh Ngee Guan, 35, bahawa mangsa akan didenda minimum RM50,000 oleh pihak mahkamah.

Ini mendorong jurujual itu menyerahkan wang RM10,000 di sebuah apartmen di Jalan Kepong, Sentul pada 12 tengah hari, 23 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun peguam Ahmad Ikram Ab Halim yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minima dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta tidak menganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.