Lindung 24 Jam PERKESO jamin kebajikan pekerja dan keluarga

5 Jun 2026, 6:02 AM
Lindung 24 Jam PERKESO jamin kebajikan pekerja dan keluarga

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberikan jaminan bahawa pekerja dan keluarga mereka tidak hilang sumber pendapatan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.

Timbalan Ketua Eksekutif Strategi dan Korporat PERKESO Edmund Cheong Peck Huang berkata skim itu diwujudkan sebagai perlindungan kepada ribuan pekerja yang tidak layak menerima faedah di bawah skim bencana kerja sedia ada.

“Pada 2024, daripada lebih 80,000 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO, lebih 20,000 kes ditolak kerana tidak memenuhi definisi bencana kerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4].

“Hal ini menunjukkan terdapat golongan pekerja yang tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial apabila ditimpa musibah,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Cheong berkata menerusi skim itu, pekerja yang mengalami kemalangan ketika melakukan aktiviti harian seperti bersukan, berjoging, berkelah atau membawa keluarga keluar bersiar-siar turut layak menerima perlindungan.

Beliau memberikan contoh sekiranya seorang pekerja muda berpendapatan RM1,700 meninggal dunia akibat kemalangan, keluarga dan anak-anaknya boleh menerima faedah orang tanggungan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit sepanjang tempoh kelayakan.

Cheong berkata Lindung 24 Jam ialah evolusi daripada skim bencana kerja PERKESO yang diperkenalkan pada 1971, yang ketika itu hanya melindungi kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau ketika menggunakan pengangkutan yang disediakan majikan.

Katanya, undang-undang itu ditambah baik pada awal 1990-an menerusi Seksyen 24 bagi melindungi kemalangan semasa perjalanan berulang-alik antara rumah dengan tempat kerja.

“Bagaimanapun, landskap pekerjaan telah berubah dengan ketara selepas pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan aturan kerja fleksibel serta peningkatan bilangan pekerja yang bekerja secara mobil dan tanpa sempadan yang jelas antara rumah dengan tempat kerja.

“Sekarang ini, kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ramai pekerja bekerja secara fleksibel, nomad dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, justeru PERKESO mengambil inisiatif memperkenalkan Lindung 24 Jam bagi memastikan pekerja dilindungi sepanjang masa,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung caruman tambahan, Cheong berkata skim itu akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ia kekal mampu milik, khususnya kepada golongan pekerja berpendapatan rendah.

Beliau berkata kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus bagi dua tahun pertama, meningkat kepada satu peratus pada tahun ketiga hingga kelima dan 1.25 peratus mulai tahun keenam, serta memberikan contoh pekerja yang menerima gaji kira-kira RM1,700 sebulan akan mencarum anggaran RM11.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.