Selangor hampir muktamad garis panduan pemasangan AED di kawasan awam

17 Mei 2026, 12:31 AM
Selangor hampir muktamad garis panduan pemasangan AED di kawasan awam

PETALING JAYA, 16 MEI: Kerajaan Selangor kini di peringkat akhir memperhalusi garis panduan pemasangan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) di kawasan awam seluruh negeri yang dijangka dimuktamadkan tahun ini.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata bengkel bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dijadualkan sekitar Jun depan sebelum laporan akhir disediakan bagi menyelaras pelaksanaan garis panduan berkenaan.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) turut meneliti beberapa model pelaksanaan di negeri lain termasuk Pulau Pinang yang telah mempunyai garis panduan AED sendiri.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran AED dan sesi latihan penggunaan AED di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Antara cabarannya, Selangor mempunyai 12 PBT berbanding hanya dua di Pulau Pinang. Selain itu, jumlah penduduk di Selangor juga jauh lebih ramai.

“Kita kini berada di peringkat akhir dan hanya tinggal bengkel bersama semua PBT untuk mendapatkan pandangan serta melihat cabaran di setiap kawasan sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED bersama komuniti SS20, Damansara Utama di sini hari ini.

Menurut Jamaliah, fokus awal pelaksanaan akan diberikan kepada pembangunan baharu bagi membolehkan pemaju menyediakan kemudahan AED dalam projek akan datang.

“Bagi kawasan pembangunan baharu, ia lebih mudah kerana kita boleh melihat bagaimana pemaju boleh diwajibkan menyediakan AED.

“Untuk kawasan sedia ada pula, kita masih meneliti bidang kuasa dan mekanisme pelaksanaan termasuk kemungkinan mewajibkannya di beberapa lokasi tertentu,” katanya.

Orang ramai didedahkan cara penggunaan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) sempena majlis pelancaran dan sesi latihan peralatan berkenaan di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain penyediaan mesin AED, Jamaliah berkata aspek penyelenggaraan, keselamatan serta latihan berkala kepada komuniti juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan secara berkesan ketika kecemasan.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menggalakkan pemasangan AED di lokasi tumpuan ramai dan kawasan berisiko tinggi seperti gelanggang badminton, pusat sukan dan taman rekreasi.

“Saya juga menggalakkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) memberi perhatian penuh terhadap penggunaan AED di kawasan masing-masing serta persediaan menyediakan mesin ini di lokasi strategik,” katanya lagi.

Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama turut menyumbang RM5,000 bagi penyediaan mesin AED yang ditempatkan di sebuah restoran berhampiran SS20 untuk kegunaan kecemasan penduduk setempat.

Alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) adalah alat kecemasan yang digunakan untuk membantu memulihkan semula degupan jantung seseorang yang mengalami henti jantung secara tiba-tiba melalui kejutan elektrik. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.