AGENDA

MB ajak rakyat syukur masih beraya, santuni ibu bapa menerusi video

13 Mei 2021, 3:09 AM
MB ajak rakyat syukur masih beraya, santuni ibu bapa menerusi video
MB ajak rakyat syukur masih beraya, santuni ibu bapa menerusi video

SHAH ALAM, 13 MEI: Dato' Menteri Besar menyambut Hari Raya Aidilfitri secara sederhana bersama keluarga di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini.

Dato' Seri Amirudin Shari melaung takbir raya bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak sebelum mengimamkan solat sunat.

Beliau kemudian menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidilfitri Mengagung Ilahi, Menyatu Hati' dikeluarkan unit khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari melaungkan takbir sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di Kediaman Rasmi Dato' Menteri Besar, Shah Alam pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam khutbah, beliau berkata umat Islam mesti menyantuni ibu bapa dan saudara mara meskipun tidak dapat bertemu secara fizikal.

Katanya, hubungan kekeluargaan boleh diteruskan dalam norma baharu mengikut tatacara operasi piawai (SOP)  seperti penjarakan fizikal.

"Kita boleh berhubung melalui kecanggihan teknologi seperti sidang video, WhatsApp dan pelbagai cara selain mengirim bungkusan makanan," katanya.

Amirudin turut mengajak umat Islam khususnya di Selangor bersyukur dengan keamanan berbanding saudara seagama di Palestin.

"Kita masih diberi peluang ke masjid, menunaikan solat dan menyambut perayaan tetapi rakyat Palestin dihalang memasuki masjid, malah diserang roket sehingga menyebabkan kematian.

"Justeru saya menyeru semua pihak bersama-sama menghulur sumbangan makanan, minuman dan kelengkapan kepada rakyat Palestin," katanya.

Dato' Menteri Besar sekeluarga yang mengenakan pakaian sedondon hijau turut merakam gambar kenangan di pagi Aidilfitri dan saling bermaafan sebelum menikmati juadah.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.