KUALA LUMPUR, 31 MEI: Lebih 400,000 guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan telah memanfaatkan Program Baucar Buku Guru MADANI 2025, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga pendidik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) Adibah Omar berkata hasil kajian impak yang dijalankan bersama IDE Research Centre melibatkan 1,794 responden mendapati, 92 peratus pendidik menyokong program itu diteruskan, manakala 82.2 peratus penerima berpuas hati dengan pelaksanaannya.
Beliau berkata sebanyak 87.5 peratus responden berpandangan program itu berjaya memupuk minat membaca, manakala 63.2 peratus menggunakan baucar yang diterima untuk meningkatkan pengetahuan profesional.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi warga pendidik terhadap amalan membaca dan pembudayaan ilmu, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan negara,” katanya ketika membentangkan kajian impak program itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Adibah berkata program yang menawarkan baucar pembelian buku kepada guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan itu, bukan sahaja meningkatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti, malah menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Adibah berkata antara judul buku yang paling laris dalam kalangan guru ialah Buku AI Guru Siri 2: Rahsia PdP Lebih Hebat dan Meyakinkan, karya Dr Ihsan Ismail dan Abd Rahman Ali Bashah, serta Buku AI Guru, karya Abd Rahman dan Ahmad Syahril.
“Pemilihan judul berkaitan kecerdasan buatan menunjukkan guru sentiasa mengikuti perkembangan teknologi dan hala tuju negara,” katanya.
Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 yang diumumkan pada Jun tahun lepas, merupakan inisiatif kerajaan bagi menghargai jasa pendidik di samping memperkukuh budaya membaca dalam kalangan guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan.




