SHAH ALAM, 31 MEI: Program Ibadah Korban anjuran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Sabak Bernam di Kampung Batu 37 Darat berlangsung meriah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail turut hadir sebagai tanda sokongan dan kebersamaan bersama komuniti serta veteran angkatan tentera.
Menurut Rizam, beliau turut menyumbangkan seekor lembu bagi menjayakan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.
Katanya, program seumpama itu bukan sekadar melaksanakan tuntutan ibadah korban, malah menjadi platform memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja melaksanakan ibadah korban, tetapi turut mengeratkan ukhuwah serta semangat kebajikan dalam kalangan masyarakat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak dalam program tersebut membuktikan semangat kerjasama dan kebersamaan yang masih kukuh dalam komuniti setempat.
Menurutnya, nilai kebajikan yang diterapkan melalui ibadah korban mampu menyemai sikap prihatin dan saling membantu antara penduduk.
Dalam masa sama, Rizam berharap ibadah yang dilaksanakan dapat terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, sukarelawan serta penduduk yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar.










