LRT tergelincir, menteri jangka operasi tren kembali Rabu depan

29 Mei 2026, 5:59 AM
LRT tergelincir, menteri jangka operasi tren kembali Rabu depan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang terjejas akibat insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin semalam dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya Rabu depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tren terbabit dijadualkan dialihkan hari ini menggunakan kren sebelum kerja pembaikan landasan dimulakan.

Beliau berkata insiden itu berlaku ketika proses pertukaran landasan apabila gerabak pertama daripada enam gerabak tren berada di laluan betul menghala ke Putra Heights, namun gerabak seterusnya tersasar masuk ke landasan menghala ke Ampang.

“Keadaan itu menyebabkan daya tarikan daripada gerabak di belakang menarik keluar gerabak pertama, sekali gus mengakibatkan gerabak pertama dan kedua tergelincir sepenuhnya.

“Punca mengapa sistem suis atau peralatan pertukaran landasan itu tidak berfungsi dengan baik seperti yang sepatutnya perlu disiasat secara terperinci,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian kira-kira 250 meter dari Stesen LRT Chan Sow Lin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Loke berkata pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu adalah pasukan bebas tanpa penglibatan wakil Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang diketuai Ketua Inspektor Kemalangan Udara Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Mejar Jen Tan Chee Kee serta pakar dalam bidang kejuruteraan rel.

Katanya, pasukan berkenaan diberi tempoh maksimum 30 hari untuk menyiapkan laporan siasatan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tindakan susulan.

“Siasatan akan meneliti sama ada kejadian berpunca daripada kesilapan manusia, kerosakan sistem atau kegagalan sistem. Laporan itu juga akan diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, siasatan turut merangkumi penelitian terhadap rejim penyelenggaraan oleh Prasarana, rekod dan log sistem berkaitan insiden termasuk operasi di Pusat Kawalan Operasi (OCC), sistem isyarat serta faktor lain yang berkemungkinan menyumbang kepada kejadian itu.

Loke berkata keterangan daripada kakitangan yang bertugas di OCC, pemandu tren dan individu berkaitan akan diambil bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan audit dalaman lebih menyeluruh dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem transit rel kendalian Prasarana termasuk perkhidmatan LRT serta Transit Aliran Massa (MRT).

Mengenai operasi semasa, Loke berkata semua stesen di laluan Ampang/Sri Petaling masih beroperasi, namun menggunakan jadual yang diubah suai bagi membolehkan pergerakan tren diteruskan.

Beliau berkata buat masa ini, penumpang perlu melakukan pertukaran tren di stesen tertentu dengan selang masa ketibaan (kekerapan) meningkat kepada antara enam hingga lapan minit sehingga kerja pembaikan selesai.

Dalam insiden pagi semalam, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berdekatan Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan, namun kesemua 25 penumpang yang terlibat selamat dipindahkan tanpa sebarang kecederaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.