Salah simpan daging korban boleh undang keracunan makanan

27 Mei 2026, 2:51 AM
Salah simpan daging korban boleh undang keracunan makanan

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Ketibaan Aidiladha bermakna majoriti umat Islam perlu menguruskan daging korban dalam jumlah yang mungkin agak besar berbanding keperluan pada hari-hari biasa, memerlukan sebahagian daripada daging yang diterima disimpan.

Namun, ramai yang terlepas pandang kepentingan aspek ini sehingga mengundang risiko keracunan yang seterusnya membawa komplikasi kesihatan serius kepada golongan rentan khasnya, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Mengulas perkara itu, Pegawai Dietetik Universiti Putra Malaysia Jazlina Syahrul berkata meskipun daging boleh bertahan enam hingga 12 bulan di dalam peti sejuk beku, rantaian kebersihan perlu dijaga rapi dari saat memotong, pembahagian porsi hinggalah proses menyahbeku.

"Kesilapan paling biasa kita lakukan adalah dengan membiarkan daging pada suhu bilik untuk satu tempoh yang lama semasa proses pengagihan, sedangkan daging mentah ataupun yang telah dimasak tidak seharusnya dibiarkan di luar (dalam suhu bilik) melebihi tempoh dua jam.

"Julat suhu antara 4 hingga 60 darjah Celsius dikenali sebagai 'zon bahaya' kerana bakteria membiak pantas. Jika cuaca panas melebihi 32 darjah Celsius, tempoh selamat ini menjadi lebih pendek, iaitu hanya satu jam," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, penyimpanan lewat membolehkan bakteria seperti Salmonella dan E. coli membiak, sementara amalan memasukkan daging yang masih panas ke dalam peti sejuk pula akan menaikkan suhu ruang dan menjejaskan makanan lain.

Selain itu, Jazlina juga menyarankan agar daging dipotong mengikut saiz sesuai untuk masakan sebelum disimpan dalam peti sejuk beku memandangkan daging yang telah dinyahbeku tidak selamat untuk dibekukan semula.

Menyentuh amalan mencuci daging mentah sebelum disimpan, Jazlina menjelaskan mencuci daging di bawah aliran air paip yang deras berisiko mencetuskan pencemaran silang, terutamanya jika kawasan itu kemudiannya digunakan untuk menyediakan makanan lain.

Menurutnya, basuhan sedemikian boleh menyebabkan percikan air yang membawa bakteria tersebar ke kawasan sekeliling, termasuk sinki, meja dapur, pisau, papan pemotong dan peralatan memasak.

“Namun, ini tidak bermakna daging tidak boleh dibersihkan langsung. Jika ada kotoran fizikal seperti pasir, tanah atau rerambut, bersihkan kotoran itu dengan hati-hati, dan jika perlu dibilas, elakkan membasuh daging di bawah aliran air deras. Sebaliknya gunakan besen dan bilas perlahan bagi mengurangkan percikan,” jelasnya.

Tambah beliau, daging yang siap dibilas perlu ditekap dengan tisu dapur bagi mengurangkan kelembapannya sebelum disejuk beku.

Jazlina juga mengingatkan pengguna agar tidak bergantung pada rupa dan bau semata-mata kerana daging yang kelihatan elok masih boleh dicemari bakteria tahan haba yang tidak musnah meskipun selepas melalui proses memasak.

“Untuk memudahkan pengguna, seeloknya daging yang siap dipotong kecil disimpan dalam bekas kedap udara dan diletakkan label tarikh. Bagi proses nyahbeku, letakkan daging tersebut di bahagian chiller dalam peti sejuk,” nasihatnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.