SHAH ALAM, 26 MEI: Masalah ketagihan media sosial dalam kalangan remaja tidak mampu dirawat dengan undang-undang, sebaliknya boleh dibendung secara berkesan melalui peranan proaktif ibu bapa.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata cadangan penetapan had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun media sosial mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.
Beliau menjangkakan, penguatkuasaan undang-undang yang bermula 1 Jun ini bakal memberi kesan pemberontakan daripada remaja sekali gus menyebabkan golongan berkenaan semakin menjauh dan mencari akses hampir serupa sebagai penawar ketagihan.
“Fasa remaja adalah fasa dimana mereka sedang mencari identiti. Jadi apa sahaja pendekatan yang kita bawa, mereka akan tetap cari jalan juga. Mereka akan memberontak dan ledakan emosi itu akan berlaku.
“Bagi saya, tidak bagus untuk kita halang sebab mereka sudah pun terdedah daripada awal. Bagaimanapun, pendekatan dan usaha yang dilakukan ini tetap baik untuk kawal isu sosial,” katanya kepada Media Selangor.
Dr Shazli berkata, antara cara terbaik bagi mengurangkan tabiat melayari media sosial kepada remaja adalah dengan menyediakan lebih banyak aktiviti fizikal dan riadah kepada kelompok tersebut.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata aktiviti fizikal mampu merangsang pembebasan dopamin secara sihat sekali gus membantu mengurangkan rasa ketagihan.
“Libatkan dengan aktiviti fizikal, jangan terlampau banyak mempromosikan 'gaming'. Lebih fokus kepada sukan, larian, senaman atau apa sahaja yang boleh merangsang aktiviti fizikal.
“Kem seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) langkah terbaik untuk pendedahan kepada persekitaran yang positif. Ada disiplin, perkembangan emosi, kognitif, ilmu dan mereka juga akan dapat pengalaman banyak,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Shazli mendedahkan hasil kajiannya sebelum ini mendapati remaja yang gemar melayari media sosial mempunyai keputusan akademik memberangsangkan selain memiliki perkembangan kematangan yang baik.
Bagaimanapun katanya, masalah ketagihan menyebabkan ada remaja yang terjerumus kepada pengaruh negatif seperti pornografi serta isu sosial yang lebih serius.
Sehubungan itu, Dr Shazli berpendapat, pendekatan utama bagi penyelesaian ini adalah pengukuhan sistem kekeluargaan kerana ibu bapa merupakan benteng utama yang mencorakkan disiplin, nilai dan tabiat anak-anak.
“Apa yang paling penting adalah menguatkan sistem keluarga. Keluarga yang dekat dengan mereka dan patut beri tumpuan kerana hanya mereka sahaja yang tahu kaedah terbaik untuk membangunkan anak masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial.
Berkuat kuasa 1 Jun ini, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan pengesahan umur susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC).







