Petronas sahkan kejadian babit tiga pekerja kontraktornya

25 Mei 2026, 1:24 AM
Petronas sahkan kejadian babit tiga pekerja kontraktornya

KUALA TERENGGANU, 25 MEI: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden melibatkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah semasa kerja penyelenggaraan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.

Petronas memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

“Petronas merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ialah untuk menyokong kesejahteraan mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.

Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.

Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.