Rakyat Malaysia disahkan maut dalam insiden bangunan runtuh di Filipina

24 Mei 2026, 1:02 PM
Rakyat Malaysia disahkan maut dalam insiden bangunan runtuh di Filipina

MANILA, 24 MEI: Seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di sebuah hotel apartmen berhampiran bangunan runtuh di Bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina, disahkan meninggal dunia, menurut media tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.

Seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh awal Ahad di Bandar Angeles.

Daripada jumlah itu, 24 mangsa dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan.

Pemangku Ketua Bomba Filipina Rico Kwan Tiu berkata mangsa warga Malaysia itu sempat berhubung dengan pasukan penyelamat menerusi telefon ketika tersepit di bawah dinding hotel sejurus selepas kejadian berlaku pada jam 3 pagi tadi (1900 GMT Sabtu).

“Malangnya, ketika kami berjaya mengeluarkannya sebentar tadi, dia sudah tidak bernyawa.

“Kami akan meneruskan operasi menyelamat sehingga berjaya menemukan semua mangsa yang terperangkap. Masih ada mangsa yang hidup. Saya pasti mengenainya,” kata Kwan Tiu.

Sementara itu, jurucakap serantau Biro Perlindungan Kebakaran Filipina, Maria Leah Sajili, berkata pasukan penyelamat yang menjalankan penilaian awal terdengar suara seseorang mengerang kesakitan dari bawah runtuhan.

Datuk Bandar Carmelo Lazatin pula berkata kepada pemberita bahawa “hampir semua mangsa sedang tidur kerana kejadian berlaku pada awal pagi.”

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.