Hujan lebat: Bomba pantau kenaikan air di pusat beli-belah Putrajaya

23 Mei 2026, 11:54 AM
Hujan lebat: Bomba pantau kenaikan air di pusat beli-belah Putrajaya

PUTRAJAYA, 23 MEI: abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya menggerakkan anggotanya untuk memantau situasi kenaikan air di sebuah pusat beli-belah di sini, susulan hujan lebat berterusan hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM WP Putrajaya Muhamad Haziq Hazmi berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kenaikan air di kawasan itu dan pemantauan segera dilaksanakan bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak melibatkan sebarang mangsa.

Sementara itu, beliau berkata JBPM WP Putrajaya juga telah menerima beberapa aduan berkaitan kejadian air bertakung dan kawasan berisiko banjir susulan hujan lebat melanda sekitar Putrajaya bermula dari pukul 3 hingga 4 petang tadi.

Susulan itu, pihak bomba melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 serta BBP Presint 14 telah melaksanakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.

Antara lokasi yang dipantau termasuklah kawasan Perumahan Presint 9 Fasa 5 dan 6, Tunnel Presint 11, Apartmen Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Seruling Presint 5, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta sekitar Presint 16 dan Presint 17.

“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap sistem perparitan dan paras air di kawasan berisiko berlakunya takungan air bagi mengelakkan kejadian banjir kilat.

“Pemantauan berterusan juga dilaksanakan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta kerjasama dengan Putrajaya Command Centre (PPj),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Haziq berkata pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Pemantauan awal dan rondaan berterusan dilaksanakan bagi memastikan sebarang risiko banjir kilat dapat dikenal pasti dengan segera serta tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan bomba demi keselamatan orang awam,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau peningkatan paras air di kawasan masing-masing.

Terdahulu, tular beberapa video dimuat naik orang ramai mengenai kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah itu dinaiki air susulan hujan lebat berterusan hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.