KLANG, 22 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama Rotary Club of Klang Central melancarkan mercu tanda baharu Bandar Bukit Tinggi, semalam.
Mercu tanda yang terletak di Bulatan Persiaran Jalan Batu Nilam 2 itu merupakan inisiatif pengindahan bulatan bertema yang bertujuan menaik taraf nilai estetika persekitaran bandar demi kesejahteraan komuniti setempat.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata MBDK merakamkan penghargaan kepada Rotary Club atas komitmen penuh tanggungjawab dalam merealisasikan projek komuniti mampan itu.
Beliau berkata, mercu tanda itu merupakan simbolik kebersamaan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memberi nilai tambah kepada imej Klang sebagai bandar raya warisan.
"Sumbangan dana, masa, dan tenaga daripada pelbagai pihak luar dalam menjayakan projek ini turut menterjemahkan moto agung Rotary iaitu 'Service Above Self' (Berkhidmat Melebihi Diri Sendiri) ke dalam bentuk transformasi sosial yang berimpak tinggi.
“MBDK amat menyokong usaha murni ini dalam memupuk semangat perpaduan serta memperkukuh tanggungjawab sosial korporat antara sektor awam, swasta, dan penduduk,” katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.
Terdahulu, Norfiza hadir mewakili Datuk Bandar Klang bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Rotary Roundabout di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam.
Hadir sama Perwakilan Presiden Rotary International & Pengerusi Yayasan Rotary International, Holger Knaack; Presiden Kelab Rotary (Klang), Mahendran Marimuthu dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Shanmugam Mookan.
Norfiza turut berharap mercu tanda baharu berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak jalinan kerjasama strategik pada masa hadapan bagi memacu agenda pembangunan komuniti yang inklusif.









