SHAH ALAM, 21 MEI: Selangor merekodkan prestasi sosioekonomi bercampur pada suku pertama 2026 dengan inflasi dan kadar pertumbuhan meningkat, selain pasaran buruh dan prospek niaga stabil.
Menerusi indikator dikeluarkan, Indeks Harga Pengguna negeri itu meningkat kepada 1.6 peratus pada Mac 2026 berbanding 1.3 peratus pada Februari lalu, susulan ketidaktentuan harga komoditi global.
Pada masa sama, nilai eksport Selangor menyusut 12.4 peratus kepada RM60.2 bilion dalam tempoh itu berbanding RM68.7 bilion tahun lalu, manakala import meningkat lima peratus kepada RM88.7 bilion.

"Prestasi ini mencerminkan aktiviti perdagangan yang menggalakkan meskipun eksport perlahan," jelas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini.
Menurut DOSM, Selangor terus mengekalkan pasaran buruh stabil dengan jumlah tenaga buruh meningkat kepada 4.14 juta orang berbanding 4.11 juta pada suku sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja turut meningkat kepada 4.05 juta orang, manakala kadar pengangguran menurun kepada dua peratus berbanding 2.1 peratus pada suku keempat 2025.

Selain itu, imbangan bersih jangkaan perniagaan kekal positif pada kadar 9.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 meskipun lebih rendah berbanding 12.5 peratus pada suku sebelumnya.
DOSM menjelaskan sentimen itu mencerminkan keyakinan berterusan peniaga terhadap perkembangan ekonomi negeri, disokong sektor pembuatan yang kekal stabil dengan kapasiti penggunaan industri sebanyak 85.1 peratus.
Dari sudut demografi pula, jumlah penduduk Selangor meningkat kepada 7.44 juta orang pada suku pertama tahun ini berbanding 7.43 juta pada suku sebelumnya.

"Kelahiran hidup mencatatkan 17,990 orang manakala kematian direkodkan sebanyak 8,042 orang dalam tempoh yang sama," menurut kenyataan itu.
Penerbitan Indikator Sosioekonomi Negeri Selangor Suku Tahun Pertama 2026 merupakan penjenamaan semula Poket Stats Negeri yang diperkasakan dengan pelbagai indikator ekonomi dan sosial utama di peringkat negeri.








