SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menjalankan siasatan terperinci susulan dakwaan berkaitan ajaran Qadiani yang ditularkan menerusi media sosial Facebook.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, video yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook ‘Keranda Ghulat’ itu sebenarnya rakaman lama yang dibuat pada 2019 sebelum dikumpul dan ditularkan semula.
Menurutnya, JAIS segera menjalankan siasatan di lokasi terbabit selepas dimaklumkan mengenai video berkenaan ketika ia mula tersebar sebelum ini.
“Berdasarkan rekod, JAIS telah membuat siasatan di lokasi yang dibuat sejurus selepas memaklumi video tersebut pada masa itu. Bagaimanapun, JAIS mendapati tiada kegiatan seumpamanya berlaku pada masa itu.
“JAIS juga turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda aktiviti itu berlaku,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Shahzihan menegaskan, ajaran Qadiani di negeri ini telah difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
Menurutnya, JAIS sentiasa memantau dan mengambil tindakan mengenai ajaran berkenaan, termasuk mengenal pasti individu, status, cara pergerakan kumpulan, hubungan dan komunikasi serta aktiviti yang dijalankan.
Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya mengambil pendekatan berhati-hati berikutan penampilan dan amalan kumpulan Qadiani sangat menyamai dengan umat Islam, dengan sedikit perbezaan yang sukar dinilai dengan mata kasar.
“Umat Islam dinasihati untuk tidak menyertai atau mengikuti sebarang program yang ada kaitan dengan ajaran Ahmadiah atau Qadiani atau ajaran yang mempunyai ciri sama.
“Perkara ini merupakan suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995,” katanya.







