Malaysia kini negara ke-7 paling dipercayai dunia, indeks kepercayaan rakyat meningkat

21 Mei 2026, 12:46 AM
Malaysia kini negara ke-7 paling dipercayai dunia, indeks kepercayaan rakyat meningkat

SHAH ALAM, 21 MEI: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling dipercayai di dunia apabila Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat kepada 71 mata pada 2026 berbanding 66 mata tahun lalu, sekali gus meletakkan negara di tangga ketujuh daripada 28 pasaran global yang dikaji menerusi Edelman Trust Barometer 2026.

Bagaimanapun, di sebalik peningkatan itu, kajian berkenaan turut mendedahkan cabaran baharu membabitkan jurang kepercayaan dalam masyarakat termasuk kecenderungan rakyat untuk sukar mempercayai individu yang mempunyai perbezaan pandangan, latar belakang dan sumber maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif Edelman Malaysia merangkap Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata Malaysia berjaya membina tahap keyakinan tinggi terhadap institusi utama negara, namun cabaran seterusnya adalah memperluaskan kepercayaan itu merentasi kelompok masyarakat berbeza.

Memetik laporan BH Online, Mazuin berkata kepercayaan yang wujud ketika ini lebih banyak terbina dalam kelompok yang berkongsi nilai, komuniti dan sumber maklumat sama.

“Malaysia tidak boleh terus menikmati tahap kepercayaan yang tinggi sekiranya jurang dalam masyarakat semakin ketara. Merapatkan jurang bukan sahaja penting daripada sudut sosial, tetapi juga penting untuk memastikan pertumbuhan negara dapat diteruskan.

“Komunikasi memainkan peranan penting dalam menyatukan semua pihak,” katanya pada majlis pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 di sini semalam.

Turut hadir Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Menurut laporan itu, sebanyak 87 peratus rakyat Malaysia percaya masyarakat kini semakin cenderung untuk tidak mempercayai individu yang berbeza pandangan sehingga sanggup memburukkan keadaan antara satu sama lain, iaitu kadar tertinggi direkodkan dalam semua pasaran yang dikaji.

Kajian itu turut mendapati 65 peratus rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan ‘insular trust mindset’, iaitu berasa ragu atau enggan mempercayai individu yang mempunyai pandangan sosial, nilai dan latar budaya berbeza.

Selain itu, hanya 37 peratus rakyat Malaysia mendapatkan maklumat daripada sumber yang mempunyai kecenderungan politik berbeza sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Dari sudut ekonomi pula, keyakinan terhadap masa depan menunjukkan penurunan apabila hanya 39 peratus rakyat percaya generasi akan datang mampu menikmati kehidupan lebih baik berbanding hari ini, merosot tujuh mata berbanding tahun lalu.

Pada masa sama, kebimbangan terhadap ancaman maklumat palsu semakin meningkat apabila 73 peratus responden percaya terdapat pihak asing yang sengaja menyebarkan maklumat palsu dalam media tempatan bagi mencetuskan perpecahan domestik.

Angka itu merupakan kedua tertinggi di dunia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dari segi institusi, sektor perniagaan mencatat tahap kepercayaan tertinggi pada kadar 76 peratus, diikuti kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing 72 peratus, media (65 peratus) serta majikan pada kadar 82 peratus dalam kalangan pekerja, dengan semuanya berada dalam kategori “dipercayai”.

Mazuin berkata pencapaian itu mencerminkan kejayaan besar Malaysia dalam memperkukuh keyakinan pelaburan serta kredibiliti institusi negara.

“Malaysia telah meletakkan dirinya antara negara paling dipercayai di dunia. Ia satu pencapaian sebenar dan penting untuk keyakinan pelaburan, kredibiliti institusi serta kedudukan kita dalam dunia yang kepercayaan menjadi sumber yang semakin sukar diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Soo Heong menyifatkan tahap kepercayaan tinggi rakyat Malaysia terhadap institusi dan sektor perniagaan sebagai aset penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta perpaduan masyarakat.

Katanya, tahap kepercayaan terhadap sektor perniagaan di Malaysia antara yang tertinggi di dunia dan mengatasi beberapa ekonomi maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

“Kepercayaan terhadap sektor perniagaan di negara ini amat kukuh iaitu pada kadar 76 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

“Ia adalah asas yang amat penting kerana rakyat percaya kepada kemampuan syarikat, majikan dan usahawan untuk membawa nilai serta kestabilan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa ketidaktentuan ekonomi global, isu geopolitik serta tindakan pihak tertentu memainkan sentimen kaum dan agama boleh menjadi ancaman kepada usaha membina perpaduan nasional.

“Jika perpecahan terus dibiarkan dalam masyarakat sama ada di peringkat kerajaan, pendidikan, korporat atau sosial, ia amat berbahaya kerana akan meruntuhkan jambatan yang menyatukan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Soo Heong turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran maklumat salah dan kandungan palsu melalui platform digital yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap media.

Merujuk kepada dapatan kajian, beliau berkata trend itu sebahagiannya didorong fenomena ‘fear of missing out’ (FOMO) yang menyebabkan orang ramai mudah terdedah kepada laporan tidak disahkan serta kandungan bermotif tertentu di media sosial.

“Apabila orang ramai mempunyai telefon pintar yang canggih, mereka juga mempunyai sindrom FOMO ini dan membaca pelbagai laporan pelik yang meragukan, serta daripada individu yang mempunyai agenda tertentu.

“Apabila ini berlaku, anda terdedah kepada pelbagai perkara tidak boleh diterima akal,” katanya.

Turut hadir dalam sesi forum bertajuk From Trust Holders to Trust Brokers: What Malaysia's Institutions Must Do ialah Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail.

Soo Heong turut menggesa masyarakat merujuk kepada media arus perdana yang dipercayai selain menyeru industri media terus memperkukuh standard kewartawanan dan laporan bertanggungjawab bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

Walaupun wujud kebimbangan mengenai maklumat salah, beliau berkata Malaysia masih kekal antara negara paling dipercayai di dunia.

Kajian tahunan mengenai kepercayaan dan kredibiliti itu dijalankan antara 23 Oktober hingga 18 November 2025 membabitkan 33,938 responden di 28 pasaran global termasuk lebih 1,200 responden di Malaysia.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.