HULU LANGAT, 20 MEI: Golongan pelajar sekolah disaran menjadikan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan sebagai gaya hidup ‘trending’, sekali gus memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata golongan muda perlu tampil sebagai contoh dan ejen perubahan dalam membentuk komuniti yang lebih lestari.
“Kita mahu pelajar menjadikan amalan mengitar semula, menjaga kebersihan dan mencintai alam sekitar sebagai gaya hidup anak muda yang bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku (KBKD) 4.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, Hulu Langat, hari ini.
Beliau berkata program itu menjadi platform terbaik untuk pelajar menterjemahkan ilmu yang dipelajari di sekolah kepada tindakan sebenar dalam kehidupan harian.
“Ia bermula dengan menjaga kebersihan kelas, tandas dan kawasan sekolah sebelum diperluaskan kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar tidak sekadar hadir dalam program berkenaan, sebaliknya perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan kebersihan kawasan sekitar terus terpelihara.
“Menerusi Program Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku 4.0 ini, kita mahu mencabar pelajar menjadi ejen perubahan demi mewujudkan bumi Kajang yang lebih bersih,” katanya.
Kempen KBKD 4.0 dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan serta memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar di seluruh DUN Kajang.






