SHAH ALAM, 20 MEI: Selangor perlu mempercepat penyesuaian terhadap perubahan ekonomi global dan memperkukuh peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya kekal berdaya saing dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, perubahan teknologi dan persaingan serantau yang semakin meningkat menuntut Selangor memperkukuh daya tahan ekonomi domestik.
Beliau berkata PKS dan syarikat pertengahan (MTC) perlu diperkasa kerana kedua-duanya memainkan peranan besar dalam ekonomi negara dan negeri.
“PKS kekal menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia dengan mewakili lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
“Mereka menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyediakan lebih 48 peratus peluang pekerjaan,” katanya ketika program Invest Selangor Update Series: Insights into the Latest Opportunities for SMEs & MTCs hari ini.
Hasan berkata walaupun syarikat pertengahan hanya mewakili kira-kira 0.8 peratus daripada syarikat berdaftar, kumpulan itu menyumbang sekitar 36 peratus kepada KDNK negara dan menyediakan kira-kira 16 peratus peluang pekerjaan.
“Di Selangor, kehadiran kuat PKS dan MTC memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekosistem industri negeri, menyokong rantaian bekalan, meningkatkan inovasi dan membantu pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Menurut beliau, Selangor perlu terus beralih kepada industri bernilai tinggi seperti pembuatan maju, ekonomi digital, teknologi hijau, aeroangkasa, sains hayat serta elektrik dan elektronik (E&E).
Katanya, syarikat tempatan perlu mampu berkembang, berinovasi dan menembusi rantaian nilai serantau serta global untuk terus bersaing.
“Negeri ini tidak lagi boleh bergantung kepada industri tradisional bernilai rendah semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah sektor berasaskan pengetahuan dan inovasi yang mampu menawarkan pekerjaan lebih baik, gaji lebih tinggi dan produktiviti lebih kukuh,” katanya.
Hasan berkata Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal diperkenalkan akan memberi tumpuan lebih besar kepada industri bernilai tinggi, inovasi, kelestarian, pembangunan bakat, transformasi digital dan penyertaan ekonomi yang lebih menyeluruh.
Katanya, pelan itu juga akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Program hari ini melibatkan kerjasama strategik antara Invest Selangor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Khazanah Nasional Bhd serta Bursa Malaysia bagi membantu PKS dan MTC melalui pembiayaan, sokongan tadbir urus, pembangunan kapasiti dan peluasan perniagaan.










