SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 19 muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan dibuka secara percuma kepada seluruh warganegara Malaysia pada 18 Mei ini sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, yang mempelawa orang ramai memanfaatkan peluang meneroka sejarah, warisan dan identiti negara melalui pelbagai pameran interaktif di muzium seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mendekatkan masyarakat dengan khazanah warisan negara selain menyemarakkan semangat menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembinaan negara bangsa.
“Jom luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk meneroka khazanah warisan negara serta menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembinaan negara bangsa,” menurut hantaran tersebut.
Antara muzium yang terlibat ialah Muzium Seni Bina Malaysia di Bandar Hilir, Melaka, Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur, Muzium Perak di Taiping dan Muzium Kota Kayang di Perlis.
Turut membuka akses percuma kepada pengunjung ialah Muzium Automobil Nasional di Sepang, Selangor yang menampilkan pelbagai koleksi berkaitan perkembangan industri automotif negara.
Semua muzium yang terlibat dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan orang ramai mengunjungi lokasi pilihan sepanjang sambutan berlangsung.
Hari Muzium Antarabangsa disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan muzium sebagai medium pendidikan, pemeliharaan sejarah dan pengukuhan identiti budaya negara.
Sambutan itu turut menjadi platform memperkenalkan warisan negara kepada generasi muda menerusi pendekatan lebih interaktif dan mesra pengunjung.
Inisiatif masuk percuma itu dijangka menarik lebih ramai pengunjung termasuk keluarga, pelajar dan pelancong tempatan untuk mengenali sejarah serta kepelbagaian budaya negara dengan lebih dekat.






