Kes penipuan dalam talian rekod kerugian RM2.77 bilion tahun lalu

16 Mei 2026, 6:27 AM
Kes penipuan dalam talian rekod kerugian RM2.77 bilion tahun lalu
Kes penipuan dalam talian rekod kerugian RM2.77 bilion tahun lalu
Kes penipuan dalam talian rekod kerugian RM2.77 bilion tahun lalu

KULAI, 16 MEI: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini mempergiat Kempen Internet Selamat pada semua peringkat komuniti susulan peningkatan drastik kes penipuan dalam talian yang merekodkan kerugian berjumlah RM2.77 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata berbanding RM1.28 bilion pada 2023, dan RM1.57 bilion pada 2024, angka kerugian itu menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dengan penipuan pelaburan tidak wujud penyumbang terbesar kepada jumlah itu.

"Pada awalnya mangsa akan lihat pulangan dalam akaun. Contohnya, jika melabur RM1,000 menjadi RM3,000, menyebabkan mereka menambah lebih banyak wang sehingga habis simpanan mereka,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Komuniti bersama platform e-dagang, Shopee di Felda Bukit Permai, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Kempen Internet Selamat, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata kementerian menggunakan pendekatan berbeza mengikut kumpulan sasar bagi memastikan penyampaian mesej kesedaran digital yang berkesan dengan menumpukan buli siber pada peringkat sekolah rendah.

Sementara itu, bagi peringkat komuniti seperti di Felda, kampung dan taman perumahan, menumpukan kepada isu scam dan untuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah menengah pula mereka didedahkan mengenai bahaya penipuan pekerjaan serta risiko akaun keldai (mule account).

Setakat 30 April lalu, kempen berkenaan telah dilaksanakan di 10,134 sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, Institut Pendidikan Guru dan IPT yang melibatkan hampir 900,000 peserta.

Dalam program itu, seramai 200 penduduk Felda Bukit Permai menerima sumbangan set barangan keperluan harian hasil kerjasama strategik dengan Shopee, selain penyediaan kaunter saringan kesihatan dan Kempen Internet Selamat oleh petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.