KUALA LUMPUR, 15 MEI:Dua jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat malam esok bagi memberi laluan kepada Program Bukit Bintang Berselawat 3.0 (BBB3.0) yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata penutupan Jalan Bukit Bintang serta Jalan Sultan Ismail dijangka bermula dari seawal 8 malam hingga 11 malam dan akan dibuka semula secara berperingkat selepas acara tamat.
Beliau berkata program selama sejam yang bermula 9.30 malam itu akan berlangsung di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang, iaitu di lintasan pejalan kaki “Shibuya Bukit Bintang”.
“Orang ramai dinasihatkan mengelakkan laluan terlibat sepanjang program berlangsung, merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif dan menggunakan pengangkutan awam serta perkhidmatan e-panggilan bagi mengurangkan kesesakan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas di lokasi demi keselamatan dan kelancaran lalu lintas selain mengamalkan sikap pemanduan berhemah serta bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zamzuri dalam kenyataan berasingan berkata beberapa jalan utama di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil dan kawasan Taman Teknologi Malaysia (TPM) akan ditutup serta dilencongkan secara berperingkat bermula seawal 5 pagi Ahad ini susulan program larian International Positive Energy Half Marathon & Sport Wellness Carnival 2026.
Beliau berkata laluan program larian anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama KT Cyclone itu melibatkan Jalan Barat, Jalan Jalil Perkasa 7, Jalan Jalil Perkasa 1, Jalan 1/155C, Jalan Persiaran Jalil Utama dan Lebuhraya Bukit Jalil.
Katanya program berkenaan yang dijangka menarik penyertaan kira-kira 2,000 peserta itu melibatkan tiga kategori utama, iaitu larian 21 kilometer (km), 10 km dan 5 km, dengan jalan akan dibuka semula secara berperingkat selepas acara selesai.




