SHAH ALAM, 15 MEI: Polis mengenal pasti antara enam hingga 10 pelajar perempuan dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bedong yang tular di media sosial sejak semalam.
Pergaduhan dipercayai berlaku pada 13 Mei lalu antara jam 1 hingga 2 petang sebelum rakaman video kejadian mula tersebar dan dikesan polis kira-kira jam 2 petang semalam, lapor Buletin TV3.
Siasatan awal mendapati insiden tercetus akibat perselisihan faham di media sosial membabitkan sindir-menyindir sebelum mereka bertindak bergaduh di luar kawasan sekolah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata polis membuka tujuh kertas siasatan selepas video pergaduhan itu tular walaupun tiada laporan polis dibuat hampir 24 jam selepas kejadian.
Menurutnya, Ketua Balai Polis Bedong kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 5.30 petang semalam bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.
“Setakat ini, kita kenal pasti antara enam hingga 10 pelajar perempuan berusia 13 hingga 16 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Sebanyak tujuh keterangan sudah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati kejadian tidak membabitkan unsur gengsterisme, sebaliknya hanya berpunca daripada konflik sesama pelajar sekolah yang sama.
Menurutnya, beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan seperti lebam pada badan, namun tiada senjata digunakan dalam kejadian tersebut.
Polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menahan individu tertentu bagi membantu siasatan, namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.








