SHAH ALAM, 14 MEI: Sebanyak 14 kampung Orang Asli di daerah Hulu Selangor masih dalam proses pewartaan tanah bagi menjamin hak serta kesejahteraan komuniti berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Pewartaan Tanah Orang Asli Daerah Hulu Selangor yang dipengerusikan EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman di Bilik Mesyuarat Sri Kubu, hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kampung terlibat, hanya lima kampung selesai menjalani kerja ukur tanah manakala sembilan lagi masih dalam tindakan.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menyediakan peruntukan bagi mempercepatkan kerja ukur tanah di kawasan terbabit.
“Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menyediakan peruntukan bagi mempercepatkan kerja ukur tanah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata langkah berkenaan penting supaya proses pewartaan dapat diselesaikan secara lebih efisien dan teratur.
Papparaidu turut menegaskan urusan pewartaan tanah kampung Orang Asli perlu dipercepatkan bagi menjamin hak serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Selangor.
“Saya turut menegaskan urusan pewartaan tanah Kampung Orang Asli perlu dipercepatkan bagi menjamin hak dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Selangor,” katanya.
Dalam mesyuarat sama, beliau turut menyentuh persiapan sambutan Hari Orang Asli yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini di Kampung Gerachi Jaya.
Program berkenaan dijangka menjadi platform menghargai masyarakat Orang Asli selain memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat.










