Kanak-kanak dua tahun kritikal, jatuh dari tingkat lima flat

14 Mei 2026, 9:01 AM
Kanak-kanak dua tahun kritikal, jatuh dari tingkat lima flat

SHAH ALAM, 14 MEI: Kanak-kanak lelaki berumur dua tahun yang terjatuh dari tingkap rumah tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Uda Utama, di Johor Bahru, Selasa lalu, berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata kanak-kanak warga tempatan itu berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami kecederaan di bahagian wajah, kepala dan leher selain pendarahan dalaman.

Beliau berkata mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap ruang tamu dengan menggunakan sofa yang berada berhampiran tingkap yang dalam keadaan sedikit terbuka serta tidak berkunci ketika kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan kediaman khususnya membabitkan kanak-kanak termasuk memastikan tingkap dan ruang berisiko berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat lima sebuah PPR di Bandar Uda Utama dan ditemukan terbaring di ruang parkir pada jam 10.30 pagi.

Beberapa penduduk juga mendakwa mendengar jeritan ibu kanak-kanak itu selepas menyedari anaknya terjatuh.

Keluarga mangsa dipercayai baru berpindah ke flat berkenaan beberapa bulan lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.