Saat melangkah masuk ke Spa Z, bauan menyegarkan memenuhi ruang, apatah lagi susun atur dalaman yang kemas serta layanan mesra petugas mewujudkan suasana tenang, seolah-olah berada di spa komersial di luar tembok penjara.
Kegusaran awal kerana lokasinya di pekarangan Penjara Wanita Kajang, ditambah perkhidmatan yang dikendalikan prospek atau tahanan penjara, hilang begitu saja, malah ketenangan suasana dan layanan profesional yang dipamerkan.
Tanpa gari di tangan yang sinonim dengan prospek, diganti dengan tugas sebagai juruterapi berkemahiran yang kemas beruniform, peranan profesional itu jelas terserlah apabila mereka lincah melakukan rawatan wajah dan perkhidmatan salon.
Tidak ubah seperti juruterapi berkemahiran di spa komersial di luar sana, siapa sangka kemahiran itu baru saja mereka pelajari kurang setahun.
Bakat yang dimiliki terserlah melalui ketelitian setiap sentuhan, teknik tersusun serta pematuhan kepada prosedur kerja profesional.

Menurut tenaga pengajar, Koperal Penjara Nur Hasyimah Abdullah, dari serendah RM7 hingga RM200 perkhidmatan utama ditawarkan adalah spa dan salon, dengan setiap prospek memiliki Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 atau Tahap 3 yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Antara perkhidmatan salon rambut yang ditawarkan adalah gunting, cuci, rawatan, meluruskan rambut, warna rambut dan serum. Manakala perkhidmatan spa termasuk sauna, lulur, urutan badan, rawatan muka, urutan kaki, sauna dan bertungku.
“Setiap prospek yang berkhidmat di spa ini memang ada kemahiran mengurut dan menggunting. Mereka boleh kendalikan kira-kira 10 pelanggan sehari.
“Maklum balas yang kita terima daripada pelanggan sangat positif, malah memang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan berulang-kali.” katanya yang sudah 10 tahun menjadi tenaga pengajar bagi latihan kemahiran spa dan salon di penjara terbabit.

Sementara itu, timbalan pengarah penjara berkenaan berkata prospek yang berkhidmat di Spa Z dikategori sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP) - mempunyai kebenaran untuk bekerja di luar tembok penjara setelah melalui proses tapisan ketat.
Jelas PP Mona Azura Ismail, BKLP yang mengikuti latihan kemahiran perlu mempunyai baki hukuman antara enam hingga 18 bulan bagi melengkapkan jam latihan untuk melayakkan mereka menerima sijil kemahiran.
Selain itu, berdisiplin, berkelakuan baik serta bebas daripada sebarang pelanggaran tatatertib sepanjang tempoh tahanan.
Pemilihan turut mengambil kira minat prospek melalui sesi temu duga, selain tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik, termasuk bebas daripada penyakit berjangkit. Kesemua kriteria ini akan dinilai dan diputuskan dalam mesyuarat pemilihan prospek kerja.
“Secara purata kira-kira 20 prospek dipilih mengikuti program kemahiran salon dan spa di Penjara Wanita Kajang setiap tahun, iaitu jumlah yang kita rasakan sesuai untuk mereka jalani latihan berkualiti namun yang dipilih berkhidmat di Spa Z biasanya empat atau lima orang.
"Mereka ini juga diberikan gaji atau upah selain elaun menerusi program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN)," katanya.
Sebelum prospek layak berkhidmat di Spa Z yang berada di pekarangan penjara, mereka akan menerima latihan praktikal di spa dan salon dalam blok penjara seperti menggunting rambut prospek lain dan sebagainya.
“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan justeru pemilihan prospek kerja turut ditapis mengikut kes dia jatuh hukum.
"Kalau kes macam samun bersenjata, itu kita tapis awal. Biasanya, kita hanya pilih prospek kes yang biasa seperti dadah atau curi. Kalau dia ke arah ganas, itu memang kita sudah tapis,” katanya.
Program latihan itu bertujuan membekalkan kemahiran praktikal sebagai persediaan reintegrasi sosial, meningkatkan keyakinan, mengurangkan stigma serta memperkasa ekonomi kendiri melalui peluang pekerjaan atau perniagaan sendiri, sekali gus menurunkan kadar pengulangan masuk ke penjara.
Bagi prospek yang menyertai latihan itu, ia ibarat peluang kedua buat mereka setelah melalui tempoh hukuman dan kesilapan silam, untuk membina semula kehidupan dengan kemahiran, bermakna sekali gus melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu.

Ilmu berharga
Hasnah (bukan nama sebenar) yang berkhidmat di Spa Z kira-kira enam bulan, menyifatkan program berkenaan membuka ruang pembelajaran baharu memandangkan dia memang meminati bidang urutan.
“Walaupun minat, saya memang kosong dalam bidang ini. Tapi bila dapat peluang belajar dan sokongan pegawai, saya rasa dihargai dan diterima semula.
"Keyakinan yang dulu hilang, sekarang perlahan-lahan kembali,” katanya yang berhasrat menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan apabila bebas kelak.
Wanita itu masih berbaki kira-kira setahun empat bulan sebelum dibebaskan dan menyifatkan kemahiran yang diperoleh menjadi bekalan penting untuk membina kehidupan baharu selepas keluar kelak.
“Bila pelanggan boleh terima kami, rasa rendah diri itu hilang. Program ini betul-betul satu persediaan untuk kami keluar nanti,” katanya yang berharap masyarakat memberi peluang kedua dan tidak terus menyisihkan bekas prospek yang mahu berubah.

Bermula tanpa sebarang kemahiran, Ina (bukan nama sebenar) kini mampu mengendalikan rawatan spa dan perkhidmatan salon selepas mengikuti program itu sejak Jun tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, dia mempelajari teknik urutan, rawatan wajah serta dandanan rambut - satu perubahan besar bagi dirinya.
Menjelang pembebasan Jun ini selepas menjalani hukuman penjara lima tahun, kemahiran tersebut menjadi sandaran baharu buatnya untuk membina kehidupan di luar.
Lebih daripada sekadar latihan teknikal, program berkenaan mengembalikan keyakinan diri ibu tunggal kepada empat anak itu yang lama terhakis akibat stigma sebagai prospek.
“Bila pelanggan boleh terima kami dan layan kami macam orang biasa, rasa rendah diri itu hilang. Saya rasa masih diterima oleh masyarakat.
"Apa ilmu yang saya dapat di sini, saya nak praktikkan bila keluar nanti. Program ini betul-betul peluang kedua untuk kami,” katanya.










