Polis sahkan siasatan terhadap Jho Low masih diteruskan

13 Mei 2026, 10:29 AM
Polis sahkan siasatan terhadap Jho Low masih diteruskan

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan pihak polis walaupun muncul laporan yang mendakwa Jho Low sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, Kuala Lumpur, pada 13 Mei 2026. Foto BERNAMA

“Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan... saya melihat perkara begini agak sensitif untuk dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Dialog Khas PDRM kali kelima 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata PDRM turut menjalinkan hubungan baik dengan negara berkaitan dalam usaha meneruskan siasatan kes berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Jho Low, yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa memfailkan permohonan pengampunan daripada Trump beberapa minggu lepas.

Menurut laporan itu, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.

Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan yang dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai pending (belum selesai) bagi Pardon after Completion of Sentence (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).

Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018 namun sehingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.