Raja Muda Selangor, isteri bersiar di Puncak ALOP, nikmati panorama Kuala Lumpur

12 Mei 2026, 2:44 PM
Raja Muda Selangor, isteri bersiar di Puncak ALOP, nikmati panorama Kuala Lumpur
Raja Muda Selangor, isteri bersiar di Puncak ALOP, nikmati panorama Kuala Lumpur
Raja Muda Selangor, isteri bersiar di Puncak ALOP, nikmati panorama Kuala Lumpur

HULU LANGAT, 12 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bersiar-siar di Puncak Ampang Look Out Point (ALOP), Ampang Jaya sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sektor ekopelancongan negeri.

Ketibaan Baginda bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz disambut EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Baginda kemudian mendengar sembah taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berhubung pembangunan dan potensi Puncak ALOP sebagai destinasi ekopelancongan baharu negeri.

Baginda turut meluangkan masa menikmati melihat panorama Kuala Lumpur serta matahari terbenam di Puncak Hauz.

Puncak ALOP yang terletak dalam kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah pada ketinggian 260 meter dari paras laut menawarkan panorama luas hampir keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur.

Kawasan itu turut menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti santai waktu malam dalam kalangan golongan belia serta destinasi popular komuniti berbasikal.

Sementara itu, Yee Ling berkata walaupun belum sampai dua bulan dibuka, Puncak ALOP telah dikunjungi pelancong antarabangsa termasuk Hong Kong, Taiwan dan China.

“Pembangunan lokasi ini baru memasuki fasa pertama yang memberi tumpuan kepada kemudahan makanan dan minuman sebelum diperluaskan dengan adanya caravan, tapak perkhemahan serta ruang acara.

“Ini menunjukkan potensi geopelancongan di Selangor untuk terus berkembang selepas negeri ini menerima status Geopark Kebangsaan.

“Kita juga menyasarkan permohonan UNESCO Global Geopark pada masa akan datang sekali gus mengangkat Selangor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pembukaan Puncak ALOP dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 30 Mac lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.