Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor

13 Mei 2026, 1:00 AM
Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor
Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor
Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor
Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor
Bekas mekanik jana rezeki kutip minyak terpakai di Selangor

SHAH ALAM, 13 MEI: Bermula dengan kutipan minyak masak terpakai dari rumah ke rumah, seorang bekas mekanik kini menjadikan sisa dapur itu sebagai sumber rezeki yang berkembang ke seluruh Selangor.

Muhammad Azizul Hanafi Kayatin, 31 mula menjalankan perniagaan itu kira-kira lima tahun lalu selepas kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19.

"Sebelum ini bekerja sebagai mekanik selama 10 tahun, tetapi apabila pandemik berlaku saya hilang pekerjaan dan pendapatan.

"Saya mendapat ilham membuat perniagaan ini apabila ramai jiran setempat tidak tahu mahu membuang minyak masak terpakai dimana kerana ketika itu belum ramai yang tahu tentang mengitar semula minyak masak terpakai" katanya ketika ditemui Media Selangor.

Bekas mekanik, Muhammad Azizul Hanafi Kayatin, 31, (belakang) dibantu pekerjanya, Mohamad Shahfikri Masnan, 27, mengumpulkan minyak masak terpakai dalam tong khas untuk dikitar semula. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Katanya, usahanya bermula secara kecil-kecilan dan kini melakukan kerjasama dengan beberapa syarikat yang menjadikannya ejen pengumpul minyak masak terpakai.

Sejak itu, pemuda asal Tangkak, Johor ini menjalankan kutipan secara berkala di kawasan komuniti dan dari peniaga.

"Rutin harian kami ialah membuat kutipan di kedai-kedai makan, manakala hujung minggu pula fokus kepada kawasan komuniti" katanya.

Selepas kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19, bekas mekanik Muhammad Azizul Hanafi Kayatin, 31 kini menjadikan minyak masak terpakai sebagai sumber pendapatan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai juga semakin meningkat kerana bahan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, malah mampu menjana pendapatan sampingan.

Minyak tersebut juga dihantar ke pusat pengumpulan sebelum diproses oleh syarikat bagi kegunaan industri seperti biodiesel dan bahan api penerbangan.

"Dulu dibuang begitu sahaja tetapi sekarang ramai mula kumpul kerana boleh dijual semula dan mempunyai kesedaran minyak masak terpakai mempunyai nilai" katanya.

Jelasnya, operasi pengumpulan yang berpangkalan di Bangi itu mampu mengumpul antara 500 kilogram hingga dua tan minyak masak terpakai sehari bergantung kepada kawasan kutipan.

Salah seorang penduduk Idaman BSP Jenjarom menjual minyak masak terpakai kepada Muhammad Azizul Hanafi Kayatin. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Kutipan minyak bantu alam sekitar

Menurut Azizul, minyak masak terpakai yang tidak dilupuskan dengan betul boleh menyebabkan saluran paip dan longkang tersumbat selain mencemarkan alam sekitar.

Katanya, minyak yang bercampur bahan asing seperti sabun, air atau minyak hitam juga tidak boleh dijual semula kerana menjejaskan kualiti bahan tersebut.

“Kita boleh kenal pasti minyak yang tercemar melalui bau dan tekstur. Kebiasaannya berlaku apabila minyak dituangkan ke dalam bekas sabun tanpa dibersihkan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau mengakui pernah mendengar mengenai penyalahgunaan minyak masak terpakai, namun percaya perkara itu bergantung kepada tahap kesedaran dan pengurusan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berharap orang ramai lebih peka terhadap kepentingan menguruskan sisa dapur tersebut dengan betul demi menjaga kelestarian alam sekitar.

“Sekarang ini bukan sekadar bisnes, tetapi sudah menjadi ekosistem komuniti. Selain membantu alam sekitar, ia juga memberi peluang pendapatan sampingan kepada masyarakat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.