Viral bukan jaminan jenama kekal relevan, kepercayaan pengguna penentu kelangsungan

11 Mei 2026, 12:00 PM
Viral bukan jaminan jenama kekal relevan, kepercayaan pengguna penentu kelangsungan
Viral bukan jaminan jenama kekal relevan, kepercayaan pengguna penentu kelangsungan
Viral bukan jaminan jenama kekal relevan, kepercayaan pengguna penentu kelangsungan
Viral bukan jaminan jenama kekal relevan, kepercayaan pengguna penentu kelangsungan

AMPANG JAYA, 11 MEI: Kandungan tular di media sosial mampu membantu meningkatkan capaian sesuatu produk, namun ia bukan jaminan sesebuah jenama mampu kekal relevan dalam tempoh panjang.

Pengurus Kanan Content Forum, Mawar Abd Latiff berkata kekuatan sebenar sesebuah jenama bergantung kepada tahap kepercayaan pengguna serta keupayaan membina identiti yang diyakini ramai, bukan semata-mata populariti sementara di platform digital.

Menurutnya, terdapat kandungan tular yang tidak memberi kesan negatif besar kepada jenama, namun kontroversi tertentu tetap boleh menjejaskan reputasi walaupun hanya berlaku untuk tempoh singkat.

Pengurus Kanan (Dasar dan Advokasi) di Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia ketika Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di The Campus Ampang pada 11 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Terdapat kandungan yang tular tanpa memberi kesan buruk besar kepada jenama, namun isu tertentu boleh menyebabkan sesebuah pihak terpalit kontroversi walaupun kesannya hanya bersifat sementara.

“Kalau nak produk atau jenama bertahan lama, kepercayaan pengguna dan penjenamaan sendiri jauh lebih penting berbanding sekadar mengejar tular,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum Usahawan Digital Beretika Membina Jenama Dipercayai di Alam Siber sempena Program Kempen Internet Selamat di The Campus Ampang, hari ini.

Mawar berkata pembinaan jenama memerlukan usaha berterusan termasuk konsistensi, kredibiliti dan kepekaan terhadap sensitiviti masyarakat di pelbagai negara.

Katanya, dalam era digital yang serba pantas dan tanpa sempadan ini, penggiat kandungan serta pemilik jenama perlu memahami bahawa setiap kandungan yang diterbitkan boleh ditafsir dan dinilai daripada pelbagai perspektif di peringkat global.

“Kita masih kena lihat daripada perspektif global. Apa yang diterima di satu negara mungkin sensitif di negara lain.

“Setiap isu atau salah faham yang timbul juga perlu dijelaskan dengan baik bagi mengelakkan persepsi negatif berpanjangan terhadap sesuatu jenama atau individu,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.