SHAH ALAM, 10 MEI: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di atas bumbung sebuah bangunan di Karambunai, Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, berkata seramai 10 anggota bersama jentera dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 2 petang, lapor Berita Harian.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati ada seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bumbung bangunan itu.
"Mangsa kemudian dibawa turun dengan menggunakan pengusung sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 3.06 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.







