Atlet ragbi wanita Selangor pecah stereotaip, kini semakin digeruni

12 Mei 2026, 3:00 AM
Atlet ragbi wanita Selangor pecah stereotaip, kini semakin digeruni
Atlet ragbi wanita Selangor pecah stereotaip, kini semakin digeruni
Atlet ragbi wanita Selangor pecah stereotaip, kini semakin digeruni

Suatu ketika dahulu, padang ragbi sering dianggap dunia eksklusif lelaki. Sukan itu dilihat keras, lasak dan penuh pertembungan fizikal sehingga ramai beranggapan wanita tidak sesuai berada di tengah padang.

Namun persepsi itu semakin berubah apabila semakin ramai wanita kini berani menyarung jersi, turun berlatih dan membuktikan kemampuan mereka dalam sukan berkenaan.

Perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan penyertaan wanita dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang kini melibatkan lebih 10 pasukan dari seluruh negara.

Di Selangor, perkembangan ragbi wanita turut didorong pertambahan kelab serta program pembangunan yang membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk mencuba sukan tersebut tanpa rasa takut atau malu.

Temu bual Nurin Hanan Abd Hadi bersama Rozliana Mohd Ridwan ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 26 Februari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi pemain ragbi wanita Selangor, Rozliana Mohd Ridwan dan Nurin Hannan Abd Hadi, perubahan itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pertambahan jumlah pemain.

Menurut mereka, ia adalah tentang keberanian wanita mencabar stereotaip dan mengubah tanggapan masyarakat terhadap kemampuan wanita dalam sukan lasak.

“Jangan takut untuk cuba walaupun orang sekeliling mungkin ragu-ragu pada awalnya. Yang penting kita berani turun padang dan belajar asas dengan betul,” kata Nurin Hannan kepada Media Selangor.

Mereka menjelaskan ragbi bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, sebaliknya menuntut disiplin tinggi terhadap teknik, strategi dan aspek keselamatan.

Dua minggu ubah hala tuju hidup

Bagi Rozliana pula, penglibatannya dalam dunia ragbi bermula secara tidak sengaja selepas diajak seorang rakan menyertai sesi latihan ketika berusia 27 tahun.

Siapa sangka, keputusan spontan untuk mencuba sesuatu yang baharu akhirnya mengubah hala tuju hidupnya.

Dalam tempoh hanya dua hingga tiga minggu selepas mula berlatih, beliau berjaya menarik perhatian jurulatih dan dipanggil menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan bagi persiapan Sukan SEA 2017.

Atlet ragbi wanita Selangor, Rozliana Mohd Ridwan ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 26 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya memang tak jangka. Pada awalnya saya cuma ikut latihan dan belajar asas. Selepas satu kejohanan, ada sesi pemilihan dan nama saya dipanggil,” katanya.

Rozliana berkata konsep ‘transfer sport’ turut membantu perkembangan pemain baharu apabila dia yang juga bekas pemain bola jaring sudah memiliki asas stamina, kepantasan dan koordinasi yang baik.

Saiz badan bukan penghalang

Sementara itu, Nurin pula membuktikan saiz badan bukan penghalang untuk cemerlang dalam ragbi.

Beraksi di posisi scrum half, beliau menggunakan kelebihan kelajuan dan kelincahan untuk mengawal rentak permainan selain menjadi penghubung antara bahagian hadapan dan barisan belakang pasukan.

Katanya, posisi tersebut memerlukan pemain sentiasa bergerak pantas, bijak membuat keputusan dan cekap membaca ruang permainan.

Menurut Nurin, pemain bertubuh kecil sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana lebih mudah mengelak asakan dan mencipta ruang, terutama dalam format tujuh sebelah yang menuntut kepantasan tinggi.

Temu bual Nurin Hanan Abd Hadi (dua dari kiri) bersama Rozliana Mohd Ridwan ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 26 Februari 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Setiap posisi ada peranan masing-masing. Yang penting kita faham tugas dan manfaatkan kelebihan diri,” katanya.

Hari ini, kisah Rozliana dan Nurin bukan sekadar mengenai ragbi, tetapi menjadi simbol keberanian wanita mencabar norma serta membuktikan sukan lasak itu juga mampu dikuasai golongan wanita.

Malah, skuad ragbi wanita Selangor dijangka terus menjadi pencabar utama apabila bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain edisi lalu bagi mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Ogos ini.

Pada edisi lalu di Sarawak, Selangor muncul juara selepas menewaskan tuan rumah 12-7 dalam aksi final di Stadium Miri.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos melibatkan 474 acara daripada 37 jenis sukan di sembilan daerah serta 52 venue pertandingan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.