Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar

16 Mei 2026, 3:42 AM
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar
Dulu arkitek, kini penyelamat ratusan kucing terbiar

SHAH ALAM, 16 MEI: Suara kucing yang tidak pernah sunyi memenuhi setiap ruang Rumah Amanah Kucing di Hulu Langat, menjadi latar rutin harian pasangan warga emas yang menguruskan kira-kira 400 ekor haiwan terbiar di pusat perlindungan itu.

Di sebalik suasana yang sentiasa ‘hidup’ itu, pusat perlindungan berkenaan diuruskan sepenuhnya oleh bekas arkitek, Hashman Don, 66, bersama isterinya tanpa sebarang jaminan mengenai kesinambungan operasi pada masa depan.

Hashman berkata minat terhadap kucing sudah bermula sejak kecil kerana dibesarkan dalam keluarga yang memelihara haiwan berkenaan sebelum ia bertukar menjadi tanggungjawab lebih besar sekitar 2015 apabila beliau mula menyelamatkan kucing yang dibuang di kawasan masjid.

“Dulu ramai tinggalkan kucing di masjid, jadi saya ambil keputusan untuk jaga dan selamatkan semuanya,” katanya kepada Media Selangor.

Pemilik Rumah Amanah Kucing, Hashman Don ketika ditemu bual di Rumah Amanah Kucing, Hulu Langat pada 2 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Lindungi kucing terbiar

Jelas beliau, usaha itu secara tidak langsung menyebabkan semakin ramai menghantar kucing terbiar kepadanya sehingga beliau mengambil keputusan menyewa sebuah rumah khas bagi dijadikan pusat perlindungan tanpa mengganggu jemaah masjid.

Katanya, dari situlah bermulanya Rumah Amanah Kucing yang kemudian berkembang daripada sebuah rumah sewa di Dengkil kepada pusat penjagaan haiwan di Hulu Langat sejak enam tahun lalu.

Kini, pusat itu menempatkan kira-kira 400 ekor kucing di empat kawasan berasingan atau ‘kem’, dengan tiga daripadanya diuruskan sendiri oleh beliau dan isteri termasuk kawasan dalam rumah serta ruang luar.

Sebuah lagi kem besar pula dikendalikan pekerja yang diupah bersama dua pekerja sambilan bagi membantu operasi harian.

Rutin mereka bermula seawal pagi dengan kerja pembersihan dan penjagaan haiwan, manakala lawatan orang awam hanya dibuka antara jam 2 hingga 5 petang menerusi janji temu bagi memastikan pengurusan lebih teratur.

Pemilik Rumah Amanah Kucing, Hashman Don bersama seekor kucing yang buta kedua matanya di Rumah Amanah Kucing, Hulu Langat pada 2 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kos operasi RM10,000 hingga RM12,000 sebulan

Namun, di sebalik usaha berterusan itu, Hashman mengakui cabaran utama adalah kos operasi yang mencecah antara RM10,000 hingga RM12,000 sebulan, tidak termasuk kos rawatan veterinar bagi kucing sakit atau memerlukan rawatan khas.

“Kami tidak pernah minta derma secara khusus. Kebanyakannya datang daripada pengikut di Facebook dan TikTok,” katanya sambil memaklumkan ada individu yang konsisten menyalurkan sumbangan kecil sejak awal penubuhan pusat itu.

Menurutnya, cabaran bukan sekadar melibatkan kewangan, malah tekanan emosi apabila berdepan kes kucing yang gagal diselamatkan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Ada masa rasa macam mahu berhenti sebab penat dan kecewa, tetapi bila fikir balik, rasa tidak sampai hati untuk tinggalkan semuanya,” katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai masa depan Rumah Amanah Kucing kerana masih tiada pihak benar-benar bersedia mengambil alih pengurusan pusat berkenaan.

Katanya, kebanyakan individu yang datang melihat sendiri operasi pusat itu mengakui tidak mampu menanggung kos bulanan yang tinggi, sekali gus menjadikan isu kesinambungan semakin sukar diselesaikan.

Dalam masa sama, Hashman berkata terdapat juga individu dari seluruh Semenanjung yang menghantar kucing ke pusat itu apabila tidak lagi mampu memelihara haiwan berkenaan.

“Mereka hantar sebab tahu masih boleh datang melawat selepas serahkan kucing itu di sini,” katanya.

Pernah jual harta tampung kos operasi

Di sebalik pelbagai cabaran, beliau tetap memilih meneruskan usaha menyelamatkan haiwan terbiar walaupun pernah menjual harta sendiri bagi menampung kos operasi pusat berkenaan.

“Semuanya dibuat sendiri, kami bukan NGO. Kalau mahu datang atau bantu, perlu hubungi terlebih dahulu,” katanya.

Bagi Hashman, selagi masih mempunyai kudrat, beliau akan terus menjaga haiwan terbiar di pusat itu walaupun persoalan mengenai siapa yang akan meneruskan usaha berkenaan selepas ini masih belum mempunyai jawapan.

Pelajar Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, Agilan Buminathan, 21, ketika ditemu bual di Rumah Amanah Kucing, Hulu Langat pada 2 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, penglibatan pelajar dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di pusat berkenaan turut memberi perspektif berbeza terhadap usaha kebajikan haiwan.

Wakil pelajar Universiti Multimedia (MMU), Agilan Buminathan berkata program sedemikian membuka mata mengenai realiti pengurusan haiwan terbiar yang memerlukan komitmen berterusan.

“Inisiatif ini sangat baik kerana walaupun tidak semua kucing dapat diselamatkan, usaha seperti ini tetap perlu diteruskan,” katanya.

Pelajar Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, Nurul Amni Hasanah Norazman, 21, ketika ditemu bual di Rumah Amanah Kucing, Hulu Langat pada 2 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Seorang lagi pelajar, Nurul Amni Hasanah Norazman berkata pusat perlindungan itu memerlukan sokongan berterusan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

“Bila datang sendiri baru tahu ada 400 ekor kucing dijaga di sini dan tempat ini memang perlukan bantuan. Jika tidak mampu bantu dari segi kewangan, kita boleh sumbang dari segi tenaga,” katanya.

Pelajar Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya membersihkan perkakasan kucing di Rumah Amanah Kucing, Hulu Langat pada 2 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.