TAWAU, 7 MEI: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian tidak wujud yang menyasarkan warga Korea susulan penahanan 28 warga asing termasuk dua wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata sindiket berkenaan dipercayai memasuki Sabah dan menjalankan aktiviti penipuan tersebut menggunakan beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera.
“Seramai 27 warganegara China dan seorang warga Vietnam ditahan, masing-masing berusia antara 21 hingga 51 tahun. Lokasi yang diserbu itu dijadikan tempat tinggal, pusat operasi serta latihan bagi menjalankan kegiatan sindiket terbabit.
“Polis turut merampas 33 unit telefon bimbit, tiga unit komputer riba dan dua modem internet dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM50,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta direman selama empat hari bermula hari ini.
“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti peranan suspek yang ditahan, rangkaian sindiket termasuk jumlah mangsa terlibat serta kerugian yang dialami,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan mencurigakan, selain mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.








