Mutakhir ini, masyarakat sering dikejutkan dengan laporan tragedi melibatkan kanak-kanak, sama ada kes lemas di persekitaran domestik mahupun kemalangan jalan raya di kawasan perumahan.
Insiden-insiden ini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya menunjukkan pola yang berulang dan membimbangkan. Ia menuntut satu analisis yang lebih mendalam, bukan sekadar dari sudut emosi dan simpati, tetapi juga melalui kerangka dasar, institusi, dan tanggungjawab sosial secara menyeluruh.
Dari perspektif sains politik, isu ini boleh difahami melalui konsep ‘social contract’ yang menekankan bahawa negara dan institusi sosial wujud untuk melindungi keselamatan warganya. Dalam konteks ini, kanak-kanak merupakan kelompok paling rentan yang bergantung sepenuhnya kepada sistem perlindungan yang wujud. Apabila berlaku tragedi yang berpunca daripada kecuaian yang boleh dielakkan, ia secara tidak langsung mencerminkan kelemahan dalam pelaksanaan tanggungjawab tersebut.
Dalam masa yang sama, konsep ‘human security’ atau keselamatan insan memperluaskan pemahaman keselamatan bukan sekadar ancaman besar seperti jenayah atau konflik, tetapi juga risiko harian yang mengancam kehidupan individu.
Keselamatan kanak-kanak dalam bentuk perlindungan daripada lemas, kemalangan jalan raya, dan kecuaian pengawasan merupakan sebahagian daripada dimensi ini. Justeru, peningkatan kes yang berlaku menunjukkan bahawa aspek keselamatan asas masih belum diarusperdanakan sepenuhnya dalam perancangan sosial dan pembangunan.

Malaysia sebenarnya memiliki kerangka perundangan yang jelas melalui Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan tindakan terhadap kecuaian dan pengabaian penjaga. Namun begitu, wujud jurang antara peruntukan undang-undang dan pelaksanaannya di lapangan.
Dalam istilah tadbir urus, keadaan ini sering dirujuk sebagai implementation gap, iaitu apabila dasar yang baik gagal diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan. Tanpa penguatkuasaan yang konsisten, undang-undang hanya tinggal sebagai norma bertulis tanpa kesan pencegahan yang sebenar.
Selain faktor undang-undang, aspek struktur sosial dan persekitaran fizikal juga memainkan peranan penting. Banyak kawasan perumahan dan ruang awam tidak direka dengan mengambil kira prinsip keselamatan kanak-kanak.
Ketiadaan zon selamat bermain, kawalan trafik yang lemah, serta sikap segelintir pemandu yang tidak berhemah di kawasan kediaman meningkatkan lagi risiko kemalangan. Dalam kerangka ‘human security’, keadaan ini menunjukkan bahawa keselamatan persekitaran harian masih belum menjadi keutamaan dalam pembangunan bandar.
Pada masa yang sama, perubahan gaya hidup moden turut menyumbang kepada fenomena “pengawasan pasif”, apabila perhatian penjaga teralih kepada kerja, tekanan ekonomi, dan penggunaan peranti digital. Ini bukan semata-mata isu kecuaian individu, tetapi juga mencerminkan tekanan struktur yang semakin kompleks dalam masyarakat hari ini.
Sehubungan itu, pendekatan menyeluruh perlu diambil. Penguatkuasaan undang-undang termasuk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 perlu diperkasakan bagi memastikan akauntabiliti terhadap kecuaian yang serius.
Dalam masa yang sama, prinsip keselamatan insan perlu diintegrasikan dalam perancangan pembangunan, khususnya melibatkan reka bentuk kawasan perumahan yang lebih selamat untuk kanak-kanak. Pendidikan kesedaran masyarakat juga harus diperkukuh secara berterusan, bukan sekadar melalui kempen bermusim.
Kesimpulannya, tragedi yang melibatkan kanak-kanak bukan sekadar kegagalan individu, tetapi mencerminkan cabaran yang lebih besar dalam sistem sosial dan tadbir urus negara. Ia menuntut kita untuk kembali menilai hubungan antara negara, masyarakat, dan tanggungjawab kolektif dalam melindungi golongan paling rentan. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan kesedaran bersama, kita dapat memastikan persekitaran yang lebih selamat dan terjamin untuk generasi akan datang.
Muhammad Mukmin Nusril ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional







