SHAH ALAM, 7 MEI: Cadangan Kerajaan Selangor untuk menyemak semula pengoperasian kafe siber di negeri ini menerima reaksi positif daripada pemain industri.
Langkah itu disifatkan tepat bagi memastikan peraturan sedia ada selari dengan perkembangan teknologi dan landskap digital semasa.
Pemegang saham Gift Internet Cafe, Wong Ying Hoe berkata semakan itu penting kerana industri kafe siber tidak lagi tertumpu kepada penyediaan akses internet semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai hab digital berteknologi tinggi termasuk pusat e-sukan.
Beliau berkata premis kafe siber pertamanya yang mula beroperasi pada 2005 kini berkembang menjadi antara pengendali utama industri berkenaan di Malaysia.
“Pelanggan utama kami terdiri daripada pelajar universiti, golongan pekerja dan individu yang memerlukan kemudahan digital,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Beliau berkata langkah Kerajaan Negeri itu turut mencerminkan keperluan memperkemaskan peraturan supaya selaras dengan perubahan industri selain mengelakkan persepsi negatif terhadap pengusaha yang mematuhi undang-undang.
“Kami menyokong sepenuhnya usaha membanteras aktiviti tidak bermoral dan penularan maklumat palsu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendedahkan pengendali kafe siber sering berdepan tuduhan tidak berasas termasuk dakwaan premis digunakan untuk aktiviti perjudian.
“Ada pihak cuba merosakkan reputasi kami dengan tuduhan tidak berasas yang bukan sahaja menjejaskan imej, malah membazirkan masa serta sumber pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap peraturan baharu yang bakal diperkenalkan bersifat adil dan praktikal supaya tidak menjejaskan pengusaha yang beroperasi secara sah.
Katanya, peraturan yang lebih moden mampu memberi kestabilan kepada industri selain mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi pengusaha.
“Saya berharap EXCO bertanggungjawab dapat terus menyokong pengusaha yang beroperasi secara sah dan menyumbang kepada ekonomi digital Selangor,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Belia berkata pihaknya akan menyemak semula pengoperasian kafe siber bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat ditetapkan termasuk mengekang aktiviti tidak bermoral dan penularan maklumat palsu.
Jelas Mohd Najwan Halimi, semakan itu akan dilaksanakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam aspek pelesenan serta penguatkuasaan.







