Polis tahan 2,251 individu dalam empat operasi khas banteras sindiket penipuan dalam talian

5 Mei 2026, 8:30 AM
Polis tahan 2,251 individu dalam empat operasi khas banteras sindiket penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Polis menahan sebanyak 2,251 individu menerusi empat operasi khas di seluruh negara bagi membanteras sindiket penipuan dalam talian dari Januari hingga awal bulan ini.

​Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata empat operasi bersepadu itu ialah Ops Taring, Ops Belatuk, Ops Frontier dan Ops Cenderahati.

​Beliau berkata melalui Ops Taring yang memfokuskan kepada kegiatan pusat panggilan bermula 26 Jan hingga 5 Feb lepas, pihaknya menahan 430 individu berumur antara 17 hingga 66 tahun.

​"Daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi membabitkan warga asing sebanyak 270 orang termasuk China, Indonesia dan Taiwan, manakala baki 160 individu ialah warga tempatan yang berperanan sebagai operator dan penyedia komunikasi.

​"Sindiket ini menggunakan pelbagai taktik termasuk menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan institusi kewangan dengan menggunakan skrip perbualan terancang bagi memperdaya mangsa," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

​Rusdi berkata menerusi Ops Taring itu, polis merampas pelbagai peralatan komunikasi bernilai kira-kira RM307,860 dan membuka sebanyak 74 kertas siasatan, dengan 18 daripadanya dituduh di mahkamah.

​Beliau berkata pihaknya memberkas 403 individu dalam Ops Belatuk yang menyasarkan jenayah penipuan tawaran kerja sambilan dan e-dagang dari 13 hingga 19 April lepas.

​"Sasaran utama operasi ini ialah individu yang berperanan sebagai pemilik akaun bank (keldai akaun), pencari dan pembekal kad mesin teler automatik (ATM) serta pengeluar wang sindiket.

​"Hasil operasi ini, sebanyak 358 individu dikenal pasti sebagai keldai akaun, manakala 45 individu lagi daripada 11 sindiket dipercayai terlibat secara langsung dalam rantaian jenayah ini," katanya.

​Beliau berkata operasi berkenaan digerakkan susulan peningkatan drastik kes penipuan tawaran kerja sambilan yang mencatatkan lonjakan 173 peratus pada tahun lepas dengan kerugian mencecah RM219.6 juta.

​Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,372 individu ditahan setakat Ahad lepas menerusi Ops Frontier bermula 1 April hingga 7 Mei ini bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian dan keldai akaun berhubung kes Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

​"Bagi Ops Cenderahati pula, 46 orang ditahan berhubung aktiviti jenayah penipuan membekalkan cenderahati melibatkan pembekal yang tidak wujud," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.