SEPANG, 4 MEI: Aktivis Malaysia yang sebelum ini dilaporkan diculik ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla 2026 disahkan sudah dibebaskan dan kini berada di Istanbul, Turkiye dalam keadaan selamat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu diperoleh hasil pemantauan berterusan melalui laporan harian daripada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC).
Beliau menjelaskan pemantauan itu penting bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Meskipun aktivis berdepan detik mencemaskan, mereka tetap menunjukkan semangat tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam membantu rakyat Gaza yang masih berdepan kepungan berpanjangan.
“Ini bukan lakonan atau wayang tetapi satu gerakan sebenar melibatkan masyarakat dunia yang mahu melihat bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di sini, hari ini.
Amirudin turut menyifatkan tindakan rejim Israel terhadap misi berkenaan sebagai melampaui etika pengurusan pentadbiran, memandangkan bantuan yang dibawa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan konflik peperangan.

Katanya, perkembangan semasa misi itu terus dipantau secara dekat dan dikemaskini bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, Amirudin turut menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan moral serta berbangga dengan semangat dan keberanian yang ditunjukkan aktivis dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
30 April lalu, media melaporkan 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim itu.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat ialah bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (Arkham III), Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan; Mohd Hanafi Mohd Salim; Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut serta Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada di atas kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Mereka bersama 165 aktivis lain kemudiannya dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece sebelum dipindahkan ke Lapangan Terbang Heraklion untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.











