ALOR GAJAH, 4 MEI: Tiga individu termasuk dua kanak-kanak cedera ringan selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabas di Kilometer 213.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.18 pagi sebelum sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digegaskan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran jenis Toyota Hiace yang terbabas di bahu jalan. Terdapat lapan penumpang warga India dan seorang pemandu lelaki warga tempatan dalam kenderaan berkenaan.
“Dua kanak-kanak lelaki serta pemandu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan kecederaan, memberikan rawatan awal bagi luka ringan serta melaksanakan bantuan sokongan awal psikologi kepada mangsa yang trauma.








