PUTRAJAYA, 4 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mengamalkan pendekatan seimbang dalam diplomasi ekonomi dengan mengutamakan kepentingan nasional, termasuk keselamatan bekalan tenaga.
Beliau berkata rundingan perdagangan dengan rakan strategik seperti Australia dilaksanakan secara timbal balas, mengambil kira keperluan Malaysia mengimport bahan mentah seperti fosfat untuk pengeluaran baja, di samping mengeksport urea.
"Kita import fosfat, kita eksport urea … sebab itu dalam rundingan saya dengan Perdana Menteri Australia (Anthony Albanese) yang datang dua minggu lepas, beliau minta urea, saya kata boleh dengan syarat beliau kirim fosfat.
"Beliau (Albanese) minta minyak, saya kata kalau lebih kita bagi, kalau tak ada tak boleh, walaupun di luar sana (ada dakwaan) bagaimana Anwar jual (minyak) ke Filipina, bila kita jual ke Filipina?," katanya ketika berucap pada perhimpunan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di sini hari ini.
Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya memberikan fakta yang tepat kerana ia isu keselamatan negara dan tidak menganggap perkara itu sebagai isu politik.
Anwar berkata Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dengan rakan dagang utama, termasuk China dan Amerika Syarikat (AS), meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam isu geopolitik.
"Amerika masih menjadi rakan dagang dan pelabur nombor satu bagi Malaysia. Apakah kita setuju dengan dasar luar dia (AS)? Tidak. Apakah kita setuju dengan tindakan menyerang Iran? Tidak. Apakah kita setuju membiarkan anak-anak dan wanita Gaza dibunuh? Tidak.
"Jadi kita masih mempertahankan kebebasan yang saya sebut sebagai ASEAN Centrality. Kita berani bicara kerana kita negara merdeka dan berdaulat," kata beliau.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap dasar penting negara termasuk berkaitan kepentingan Bumiputera dalam sebarang rundingan perdagangan.
"Kita boleh berdagang, tetapi jangan dia (negara lain) tentukan dasar kita. Sebab dasar ini kalau kita rungkai dan rombak, ia (boleh) jadi ketegangan politik dalam negara yang tak dapat kita kawal. Jadi ada hadnya," kata Anwar.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan mengekalkan pendekatan pragmatik dalam hubungan antarabangsa bagi memastikan aliran pelaburan asing tidak terjejas.
“Kalau kita bertempur dalam semua hal, pelaburan baharu akan terjejas,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Malaysia masih mempunyai kelebihan dalam sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta kecerdasan buatan (AI), yang terus menarik minat pelabur global.
Syarikat multinasional seperti Intel dan Amazon Web Services (AWS) terus memperluas pelaburan masing-masing di negara ini.
"Maknanya sementara kita ada masalah dalam beberapa bidang, kita masih memanfaatkan daripada bidang-bidang yang lain," kata beliau.








