Hafaz al-Quran seawal usia muda, dua pelajar MITS lakar kejayaan

3 Mei 2026, 1:00 AM
Hafaz al-Quran seawal usia muda, dua pelajar MITS lakar kejayaan
Hafaz al-Quran seawal usia muda, dua pelajar MITS lakar kejayaan
Hafaz al-Quran seawal usia muda, dua pelajar MITS lakar kejayaan

SHAH ALAM, 3 MEI: Bermula dengan rasa ragu terhadap kemampuan sendiri, dua pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) akhirnya membuktikan keupayaan mereka apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Qurra’ dalam Majlis Graduasi MITS kali ke-13, 30 April lalu.

Kejayaan itu diraih Nur Zahra Iman Farid Izanee, 17, dan Muhammad Irham Ismail yang masing-masing mempunyai latar perjalanan berbeza dalam menghafaz al-Quran, namun berkongsi tekad sama untuk berjaya.

Menurut Nur Zahra, beliau pada awalnya tidak bercadang menyertai sekolah tahfiz, namun dorongan ibu bapa menjadi titik perubahan penting dalam hidupnya.

“Saya masuk ke sekolah tahfiz dengan izin Allah dan dorongan ibu bapa, jadi perjalanan menghafaz itu bermula dengan mencuba, ikut apa yang diberikan guru,” katanya kepada Media Selangor.

Pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Klang Nur Zahra Iman Farid Izanee bersama keluarga menunjukkan cek cura Anugerah Khas Qurra' 2026 yang diterima selepas majlis Graduasi Qurra' Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-13 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Anak kedua daripada empat beradik itu berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun pada 2024, sekali gus membuktikan komitmen tinggi dalam bidang tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan itu bukan hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya dipengaruhi doa ibu bapa serta izin Allah SWT.

“Semua kejayaan ini adalah dengan izin Allah SWT serta doa ibu bapa dan saya nak tunjukkan kalau sibuk bagaimanapun kita tetap boleh berjaya,” tambahnya.

Sementara itu, Muhammad Irham mengakui tidak menjangka dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan kerana merasakan rakan lain lebih layak.

“Saya ingat kawan lain yang akan menang sebab mereka hafal lebih laju, saya pula banyak terlibat dengan aktiviti sukan,” katanya.

Pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Bagan Lalang, Sepang Muhammad Irham Ismail bersama keluarga menunjukkan cek cura Anugerah Khas Qurra' 2026 yang diterima selepas majlis Graduasi Qurra' Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-13 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Walaupun aktif dalam bidang sukan, minatnya terhadap hafazan berkembang secara berperingkat sejak kecil sebelum berjaya menamatkan al-Quran ketika di tingkatan dua.

Kedua-dua pelajar itu merancang untuk menyambung pengajian ke Darul Quran JAKIM selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendalami ilmu al-Quran dengan lebih mendalam.

Mereka juga berharap kejayaan tersebut mampu menjadi inspirasi kepada rakan sebaya dan masyarakat untuk lebih mendekati serta mencintai al-Quran dalam kehidupan seharian.

Pelajar bersama sijil penghargaan yang diterima ketika majlis Graduasi Qurra' Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-13 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.