KLANG, 30 APRIL: Seorang ibu tunggal hari ini didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku meninggalkan anak lelaki yang baru dilahirkannya dengan niat membuang bayi itu, awal bulan ini.
Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan Nor Ain Shafina Norazman, 36, yang juga bekas guru tadika, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang, Kampung Rantau Panjang di sini pada kira-kira 11 pagi 8 April lepas mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam K.Nathiya daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan Nor Ain Shafina mempunyai tiga anak, termasuk bayi yang baharu dilahirkan itu.
“Anak guam saya berhasrat untuk mendaftarkan bayi tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara... dia insaf dan menyesali perbuatannya,” kata peguam itu.








