Kanak-kanak jatuh longkang ditemui lemas 10km dari lokasi kejadian

30 Apr 2026, 7:25 AM
Kanak-kanak jatuh longkang ditemui lemas 10km dari lokasi kejadian

SHAH ALAM, 30 APRIL: Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, kelmarin, ditemui lemas, hari ini.

Ketua Zon 7 Selangor Utara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata Khairil Izani Khaizalullinudin ditemui sekitar jam 1 tengah hari oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang sedang menjalankan operasi pencarian di kawasan berkenaan, lapor Sinar Harian.

"Pasukan bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama PBS Saujana Utama telah menemui mangsa di Sungai Buloh menghala ke Ijok selepas memulakan pencarian dari pusat kawalan bomba (PKB).

"Pencarian bermula dari parit berhampiran Masjid Taman Alam Jaya sebelum bergerak kira-kira lima kilometer sehingga ke sungai berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jarak dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dianggarkan sekitar 10 kilometer.

"Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih berbaju cerah dan memakai seluar hitam," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan operasi dari Pos Kawalan Bomba di sekitar Masjid Taman akan diteruskan dengan menyusuri laluan parit sehingga ke Sungai Buloh bagi memperluas kawasan pencarian.

Mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM bagi tujuan bedah siasat.

"Kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.