SUKMA 2026: Elaun sukarelawan kekal, bilangan dikurangkan bawah 5,000 orang

30 Apr 2026, 6:08 AM
SUKMA 2026: Elaun sukarelawan kekal, bilangan dikurangkan bawah 5,000 orang

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Elaun sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kekal meskipun langkah pengurangan kos penganjuran dilaksanakan, kata EXCO Sukan.

Mohd Najwan Halimi bagaimanapun berkata jumlah sukarelawan dikurangkan kepada sekitar bawah 5,000 orang berbanding lebih 30,000 permohonan diterima sebelum ini.

“Itu kita ada bincang juga tadi. Insya-Allah tidak akan beri kesan kepada elaun. Cuma untuk sukarelawan kita terpaksa kecilkan skop sukarelawan itu, mungkin bawah daripada 5,000.

“Kita juga akan lihat nanti keperluan-keperluan untuk sukarelawan ini ditempatkan di venue dan ada penugasan khusus kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Sebelum ini, dilaporkan pada 25 Mac, seramai 31,838 individu mendaftar sebagai sukarelawan SUKMA 2026. Menurut data di laman rasmi SUKMA Selangor 2026, penyertaan tertinggi direkodkan bagi acara badminton dengan 2,648 sukarelawan, diikuti bola tampar dewan (1,653) dan akuatik (1,099).

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Mohammed Taufiq di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pertemuan tersebut memfokuskan kepada persiapan penganjuran temasya dwitahunan itu dengan Selangor sebagai tuan rumah.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap hasil pertemuan itu serta berpuas hati dengan langkah pihak penganjur yang mengambil pendekatan berjimat dalam perbelanjaan.

SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.