Di tengah-tengah kesibukan kota Brussels baru-baru ini, satu mesej jelas bergema dari bangunan parlimen ibu kota Belgium itu: Palestin tidak sendirian.
Dan melalui Kongres Parlimen Global Sumud, kita menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku di tanah air tetapi membuahkan hasil yang cukup bermakna di pentas dunia. Ahli parlimen kita sama ada dari blok Kerajaan mahupun Pembangkang, duduk semeja, mengetepikan perbezaan ideologi demi satu misi kemanusiaan yang jauh lebih besar.
Kehadiran delegasi Malaysia yang diketuai oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PKR-Ledang), bersama Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR-Balik Pulau), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik), dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) serta yang lain bukan sekadar untuk mencukupkan kuota kehadiran. Mereka membawa suara rakyat Malaysia ke dalam Deklarasi Brussels, sebuah dokumen yang menuntut tindakan, bukan sekadar simpati.

Apa yang menarik kali ini ialah peralihan nada diplomasi kita. Kita tidak lagi hanya bercakap soal solidariti moral di atas kertas. Sebaliknya, Malaysia kini terlibat aktif dalam rangkaian "diplomasi parlimen" iaitu menggunakan kuasa legislatif untuk menekan secara diplomatik, mendesak melalui jalur undang-undang antarabangsa (ICJ/ICC), dan menyokong inisiatif berani seperti Global Sumud Flotilla.
Persidangan yang menghimpunkan ahli parlimen, diplomat dan wakil masyarakat sivil dari pelbagai negara itu diakhiri dengan pemeteraian Deklarasi Brussels mengenai Tanggungjawab Negara dan Realisasi Hak Penentuan Nasib Sendiri Palestin yang menggesa tindakan lebih tegas terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Dalam persidangan itu, para delegasi, termasuk ahli-ahli parlimen dari Asia, Eropah dan Timur Tengah, menyifatkan situasi di Palestin sebagai cabaran besar terhadap undang-undang antarabangsa. Deklarasi Brussels yang diterima peserta menggesa negara-negara bertindak lebih berani termasuk mendesak penamatan sekatan, melindungi orang awam dan memastikan keadilan antarabangsa dikuatkuasakan.
Penyertaan wakil Malaysia turut selari dengan pendirian konsisten negara yang selama ini lantang mempertahankan hak rakyat Palestin di forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Sumber penganjur memaklumkan ahli-ahli parlimen yang hadir bersepakat menggunakan platform legislatif masing-masing untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Israel, menggerakkan sokongan kemanusiaan serta mendesak pematuhan kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan proses di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Bagi Malaysia, penyertaan ini bukan sekadar simbolik, malah memberi dimensi baharu kepada diplomasi parlimen negara dalam isu Palestin daripada solidariti politik kepada penglibatan aktif dalam jaringan tindakan antarabangsa.
Dalam konteks itu, kehadiran wakil Malaysia pada Kongres Global Sumud juga memperlihatkan sokongan terhadap pendekatan “parliamentary diplomacy”, iaitu penggunaan institusi legislatif sebagai medan memperkukuh tekanan antarabangsa dan memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin.
Tuntut tindakan segera
Persidangan itu turut menyatakan sokongan kepada Global Sumud Flotilla, yang melibatkan hampir 1,000 peserta dari 70 negara dalam misi terbaharu dari Barcelona ke Gaza. Misi itu bertujuan membuka koridor kemanusiaan maritim sebagai respons kepada sekatan bantuan darat yang terus menjejaskan jutaan penduduk Gaza.
Penganjur menyifatkan penglibatan ahli-ahli parlimen, termasuk dari Malaysia, sebagai “komponen diplomatik penting” kepada misi tersebut kerana ia menghubungkan gerakan masyarakat sivil dengan tekanan politik di peringkat negara.

Ketika krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing dengan kekurangan makanan, ubat dan bahan api, Kongres Brussels menjadi medan penting menghimpunkan suara global yang menuntut tindakan segera, bukan kenyataan demi kenyataan.
Deklarasi Brussels menegaskan jika mekanisme antarabangsa gagal bertindak, negara-negara anggota mesti menggunakan segala saluran yang ada iaitu diplomatik, undang-undang dan kemanusiaan bagi memastikan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin dapat direalisasikan.
Bagi kita di Malaysia, penglibatan rentas parti ini membuktikan bahawa isu Palestin adalah tunjang dasar luar negara yang tidak akan goyah, sesiapa pun yang memegang tampuk kuasa.
Mesej Malaysia dari Brussels kepada dunia adalah Malaysia bukan sekadar pemerhati dari jauh. Kita adalah sebahagian daripada gerakan global yang menuntut keadilan hakiki.
Kerana pada akhirnya, perjuangan Palestin bukan soal geopolitik semata-mata. Ia soal manusia yang dirampas tanahnya, anak-anak yang dibunuh masa depannya, dan maruah dunia yang sedang diuji.
Malaysia menghantar mesej yang jelas, kita tidak mahu dikenang sebagai hanya negara yang bersimpati, tetapi sebagai negara yang berdiri ketika yang lain memilih diam.
Dan barangkali inilah makna sebenar solidariti, selagi kezaliman belum berakhir, suara Malaysia akan terus bersatu dan bergema.







