KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres satu tingkat di Taman Ehsan, Kepong, Selangor awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.31 pagi sebelum 27 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Rawang, Jinjang dan Manjalara dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Dalam kebakaran itu seorang mangsa lelaki dijumpai rentung di atas katil dalam bilik tidur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kebakaran itu menyebabkan kemusnahan antara 20 hingga 100 peratus unit kediaman terlibat selain dua kereta turut musnah sepenuhnya.
Beliau berkata pasukan penyelamat berjaya mengawal kebakaran pada 3.42 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada 7.15 pagi.
Ahmad Mukhlis berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA








